Skip to main content

Sukan

West Ham pecat Nuno Espirito Santo selepas permulaan musim hambar

Pengendali berusia 52 tahun itu membimbing skuad The Hammers sejak September 2025 namun gagal menyelamatkan kelab berkenaan daripada tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris musim lalu. -Gambar fail
Pengendali berusia 52 tahun itu membimbing skuad The Hammers sejak September 2025 namun gagal menyelamatkan kelab berkenaan daripada tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris musim lalu. -Gambar fail
Advertisement

LONDON: West Ham United memecat ketua jurulatih Nuno Espirito Santo susulan permulaan musim yang mengecewakan dalam saingan Liga Kejuaraan England, lapor BBC.

Pengendali berusia 52 tahun itu membimbing skuad The Hammers sejak September 2025 namun gagal menyelamatkan kelab berkenaan daripada tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Walaupun dianggap antara pasukan pilihan untuk kembali ke liga tertinggi menerusi slot promosi automatik, kelab London itu kini sekadar berada di tangga kelapan liga, enam mata di belakang pendahulu, Middlesbrough.

Advertisement

West Ham hanya mencatatkan dua kemenangan daripada enam perlawanan terakhir selain mengalami kekalahan berturut-turut di laman sendiri, termasuk tewas 3-2 kepada Southampton dan 3-1 kepada West Bromwich Albion pada Sabtu lalu.

Susulan penamatan kontrak itu, penolong ketua jurulatih Rui Pedro Silva dan jurulatih penjaga gol Rui Barbosa turut dilaporkan meninggalkan kelab.

Advertisement

Bagi mengisi kekosongan tersebut, Mark Noble, Steve Potts dan Gerard Prenderville akan mengendalikan pasukan secara sementara menjelang aksi menentang Cardiff City pada malam Rabu.

Dalam satu kenyataan, pihak pengurusan West Ham berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap prestasi pasukan pada awal musim.

Menurut kenyataan itu, ahli lembaga pengarah berpandangan perubahan pengurusan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan objektif dan sasaran kelab kekal berada di landasan yang betul.

Kelab itu turut mengucapkan terima kasih kepada Nuno serta barisan kejurulatihannya atas komitmen dan sumbangan mereka sepanjang bersama pasukan, selain mendoakan kejayaan mereka pada masa hadapan.

Pihak pengurusan turut mengesahkan proses pelantikan ketua jurulatih baharu sedang dijalankan.

Must Watch Video

Advertisement