Skip to main content

Teknologi

Alat AI baharu boleh ramal kebarangkalian hidup pesakit kanser melalui gambar swafoto - Kajian

Penyelidik Amerika Syarikat (AS) membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) yang boleh meramalkan kebarangkalian hidup pesakit kanser berdasarkan sekeping gambar wajah. - Gambar hiasan
Penyelidik Amerika Syarikat (AS) membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) yang boleh meramalkan kebarangkalian hidup pesakit kanser berdasarkan sekeping gambar wajah. - Gambar hiasan

Advertisement

ISTANBUL: Penyelidik Amerika Syarikat (AS) membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) yang boleh meramalkan kebarangkalian hidup pesakit kanser berdasarkan sekeping gambar wajah, menurut kajian yang diterbitkan pada Isnin dalam jurnal The Lancet Digital Health, lapor Anadolu Ajansi.

Dibangunkan oleh penyelidik di Mass General Brigham, Massachusetts, AS, sistem yang dikenali sebagai FAHR-Face itu menganalisis ciri-ciri wajah untuk menganggarkan usia biologi dan risiko kematian, sekali gus berpotensi membantu doktor membuat keputusan rawatan.

Model itu dilatih menggunakan lebih 40 juta gambar wajah dan disesuaikan menjadi dua alat, iaitu FAHR-FaceAge, yang menganggarkan usia biologi dan FAHR-FaceSurvival, yang meramalkan kebarangkalian hidup pesakit kanser secara langsung berdasarkan imej wajah tanpa bergantung pada anggaran usia.

Penyelidik mendapati model ramalan kelangsungan hidup itu tertumpu terutamanya pada kawasan bawah mata dan sekitar hidung manakala model anggaran usia menganalisis ciri-ciri wajah di sekitar mulut dan pelipis. 

Dapatan itu menunjukkan bahawa kedua-dua sistem mengenal pasti corak berkaitan kesihatan yang berbeza.

Model ramalan kelangsungan hidup itu dilatih menggunakan imej 34,363 pesakit dan diuji terhadap 3,820 pesakit lagi. 

Keputusannya turut disahkan secara bebas menggunakan data daripada 4,892 pesakit kanser di Belanda.

Penyelidik mendapati bahawa pesakit yang dikategorikan dalam kumpulan risiko tertinggi mempunyai risiko kematian lebih tiga kali ganda berbanding mereka dalam kumpulan risiko terendah, walaupun selepas faktor klinikal diambil kira.

Pesakit yang wajahnya kelihatan sekurang-kurangnya lima tahun lebih tua daripada usia sebenar turut mempunyai risiko kematian 21 peratus lebih tinggi manakala mereka yang kelihatan sekurang-kurangnya lima tahun lebih muda mempunyai risiko 17 peratus lebih rendah.

Gabungan kedua-dua model berkenaan meningkatkan lagi ketepatan ramalan kelangsungan hidup pesakit, menurut kajian itu.

Penyelidik berkata teknologi itu berpotensi membantu doktor menilai tahap kesihatan pesakit dan menentukan keputusan rawatan. 

Bagaimanapun, pengesahan lanjut diperlukan sebelum teknologi itu boleh digunakan secara meluas dalam amalan klinikal.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement