MOSCOW: Binance, bursa mata wang kripto terbesar dunia, mengumumkan bahawa pihaknya akan menyambung semula perkhidmatan pengeluaran bagi beberapa aset susulan serangan siber baru-baru ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Minggu lepas, pengasas Binance Changpeng Zhao memaklumkan bahawa platform itu menjadi sasaran serangan penggodam, namun memberi jaminan bahawa dana pengguna kekal selamat.
Menurut penilaian awal syarikat itu, insiden berkenaan menjejaskan aset bernilai kira-kira US$6.3 bilion.
"Susulan kejayaan membuka semula perkhidmatan pengeluaran bagi rangkaian dan aset terpilih pada fasa pertama, 1 Nov 2026, Binance akan menyambung semula pengeluaran bagi aset yang disenaraikan mulai 04.00 UTC pada 3 Nov 2026.
"Bagaimanapun, tidak semua aset yang disenaraikan akan tersedia untuk pengeluaran secara serentak," menurut Binance dalam satu kenyataan media.
Antara aset yang akan dibenarkan untuk pengeluaran semula ialah BSC, Ethereum, Solana, XRP, SUI, Arbitrum, Optimism, TRX dan Base.
Pada Ahad, Binance mengumumkan bahawa pihaknya telah memulihkan sebahagian perkhidmatan pengeluaran susulan serangan penggodam itu.
Sementara itu, Financial Times pada Isnin melaporkan bahawa pelanggan telah mengeluarkan hampir US$5 bilion daripada bursa berkenaan selepas insiden itu.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI