Ringkasan AI
- Kewujudan dua rangkaian 5G di Malaysia memberi syarikat lebih banyak pilihan untuk menghubungkan pelbagai teknologi tanpa perlu menggantikan sistem sedia ada.
- Fleksibiliti rangkaian membolehkan syarikat menukar pembekal, menaik taraf operasi dan menangani gangguan tanpa membina semula keseluruhan sistem pengeluaran.
- Permintaan terhadap 5G dijangka meningkat apabila teknologi ini membuktikan manfaat operasi dan komersial, termasuk memperkasa daya saing dan kesinambungan rantaian bekalan.
PETALING JAYA: Keupayaan pengilang menyesuaikan operasi tanpa perlu menggantikan keseluruhan sistem sedia ada menjadi antara kelebihan model dua rangkaian 5G Malaysia dalam memperkasa daya tahan rantaian bekalan.
Presiden Persatuan Rantaian Bekalan Mampan dan Inovasi Malaysia (Massci), Datin Lorela Chia, berkata kewujudan dua rangkaian memberi syarikat lebih banyak pilihan untuk menghubungkan pelbagai teknologi, sekali gus memudahkan mereka menangani gangguan dan menaik taraf operasi.
“Persekitaran dengan dua rangkaian memberi industri sesuatu yang amat bernilai, iaitu lebih banyak pilihan,” katanya kepada FMT.
Malaysia mempunyai dua rangkaian 5G berasingan, iaitu Rangkaian Digital Nasional Berhad (DNB) yang menggunakan peralatan Ericsson, serta rangkaian U Mobile yang menggunakan teknologi Huawei dan ZTE.
Menurut Chia, persekitaran kilang lazimnya melibatkan gabungan mesin lama, sistem automasi baharu, platform awan dan peralatan daripada pelbagai pembekal.
Oleh itu, keupayaan rangkaian menyokong teknologi berbeza penting bagi memastikan sistem berkenaan dapat diintegrasikan tanpa perubahan besar terhadap operasi sedia ada.
“Pilihan itu juga membolehkan syarikat menukar pembekal, menaik taraf operasi atau menangani gangguan tanpa perlu membina semula keseluruhan sistem pengeluaran.
“Lebih fleksibel rangkaian di Malaysia dalam menampung teknologi berbeza, lebih mudah bagi syarikat mengintegrasi dan menaik taraf sistem serta mengelakkan kebergantungan kepada satu teknologi,” ujarnya.
Fleksibiliti itu, katanya, turut memberi manfaat kepada pembekal kecil yang mungkin berdepan kekangan kewangan untuk menggantikan peralatan semata-mata bagi menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.
“Bagi mereka, bertukar teknologi tidak sepatutnya bermakna melupuskan peralatan yang masih berfungsi atau bermula semula dari awal,” jelasnya.
Chia berkata, kepelbagaian pilihan teknologi boleh membantu syarikat menyesuaikan operasi dengan lebih pantas apabila berlaku gangguan, sekali gus menyokong kesinambungan rantaian bekalan.
“Dua rangkaian membantu rantaian bekalan menyerap gangguan.
“Pilihan teknologi pula menentukan seberapa pantas operasi dapat disesuaikan semula,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, fasa seterusnya pelaksanaan 5G perlu melangkaui peluasan liputan dengan memberi tumpuan kepada keperluan sebenar perniagaan, khususnya kebolehpercayaan rangkaian, keserasian sistem dan keselamatan siber.
Ini termasuk integrasi rangkaian 5G awam dan persendirian, sambungan gentian optik serta pengkomputeran pinggir (edge computing) bagi menyokong perhubungan antara mesin, pemindahan data pengeluaran, pemantauan peralatan dari jauh dan penyepaduan sistem di lantai kilang dengan sistem teknologi maklumat pejabat.
Teknologi itu juga boleh menyokong penggunaan sistem penglihatan mesin serta membantu memperkasa keselamatan siber dalam operasi.
“Industri tidak menggunakan rangkaian semata-mata untuk mendapatkan sambungan.
“Mereka mahukan operasi tanpa gangguan, pemantauan dan kawalan lebih baik serta keupayaan membuat keputusan dengan lebih pantas,” katanya.
Menurut Chia, permintaan terhadap 5G dijangka meningkat apabila teknologi itu dapat membuktikan manfaat operasi dan komersial kepada syarikat, termasuk dalam membantu mereka mengekalkan daya saing serta hubungan dengan rantaian bekalan yang lebih luas.