PENDAKWAH terkenal, Ustaz Wadi Annuar mendedahkan mengalami kecederaan lebih serius selepas menjalani pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) susulan kesakitan berpanjangan akibat kemalangan pada 22 Oktober lalu.
Menerusi siaran langsung di media sosial, beliau memaklumkan pemeriksaan di hospital mendapati empat bahagian tulang rusuknya patah manakala bahagian belakang turut mengalami kecederaan pada lima tempat.
Menurutnya, kesakitan pada bahagian rusuk dan belakang masih dirasai meskipun sudah lebih dua minggu sejak insiden berkenaan.
Malah, beliau mengakui terpaksa mengambil ubat tahan sakit setiap hari bagi mengurangkan kesakitan yang dialami.
"Saya sakit pada dua tempat pada badan 14 hari masih tidak lega. Saya makan ubat tahan sakit setiap hari.Saya tak pernah makan ubat tahan sakit sebanyak itu.
"Tadi saya pun pergi hospital, ingin tahu punca kenapa sakit dua tempat, rusuk dengan belakang berhampiran pinggul.
"Saya minta buat CT scan sebab X-ray di hospital tempoh hari tak nampak apa. Bila CT scan tadi, rupanya patah empat di sini.
"Rusuk ini patah empat, di belakang pun patah juga lima tempat. Patutlah saya makan ubat tahan sakit tak berhenti. Ini pun masih sakit, malah batuk pun sakit" katanya.
Bagaimanapun, pendakwah berusia 43 tahun itu tetap bersyukur dengan ketentuan ALLAH SWT dan mengambil kesempatan berkongsi doa yang diamalkan ketika berdepan ujian kehidupan
"Doa ini mempunyai lapan faedah, lapan dalam satu.
"Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada rasa gelisah (cemas) dan rasa sedih, aku berlindung kepada-MU dari kelemahan dan sifat malas, aku berlindung kepada-MU daripada sifat pengecut dan kedekut dan aku berlindung kepada-MU dari beban hutang serta penindasan orang lain."
Menurutnya, doa berkenaan menjadi antara amalan yang diulang beberapa kali apabila berdepan ujian yang dirasakan semakin berat.
"Saya diuji tak henti. Jika ujian semalam masih belum habis, diuji lagi, saya akan ulang baca doa ini.
"Alhamdulillah. Tuhan yang menciptakan keresahan, Tuhan yang sama juga yang menciptakan ketenangan.
"DIA bagi ketenangan," ujarnya.
Untuk rekod, Ustaz Wadi dan beberapa kakitangannya terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan di Gerik, Perak pada 22 Oktober lalu.
Beliau yang juga Pengerusi dan Pengetua Akademik Darul Iftak, Sungai Petani, Kedah merupakan figura yang tidak asing dalam dunia dakwah menerusi kuliah agama secara dalam talian dan bersemuka.
Beliau sebelum ini turut pernah muncul sebagai panel dalam program keagamaan seperti Al-Kuliyyah dan Semusim Di Barzakh.
Sumber: Instagram