LONDON: Punca kematian pelakon veteran Britain, Tim Curry, yang meninggal dunia pada usia 80 tahun bulan lalu, disahkan berpunca daripada penyakit arteri koronari, menurut wakil beliau kepada BBC.
Curry, yang terkenal menerusi watak Dr Frank-N-Furter dalam filem kultus The Rocky Horror Picture Show, meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles pada 25 Ogos lalu.
Menurut sijil kematian yang difailkan di Daerah Los Angeles, beliau turut mempunyai sejarah strok dan kanser buah pinggang yang dikenal pasti sebagai faktor kesihatan penting yang menyumbang kepada kematiannya.
Sepanjang lebih lima dekad kerjaya seni, Curry membina reputasi sebagai pelakon serba boleh menerusi pelbagai watak ikonik di pentas dan layar perak.
Selain The Rocky Horror Picture Show (1975), beliau turut dikenali sebagai badut jahat Pennywise dalam adaptasi televisyen It pada 1990.
Beliau juga membintangi beberapa filem terkenal termasuk Annie, Clue, Home Alone 2: Lost in New York, The Hunt for Red October dan Scary Movie 2.
Pada 2012, Curry mengalami strok serius yang menyebabkan pergerakannya terhad dan memerlukan penggunaan kerusi roda.
Namun, beliau terus aktif dalam bidang hiburan dengan memberi tumpuan kepada lakonan suara serta menghadiri konvensyen filem dan acara peminat.
Tahun lalu, beliau menerbitkan memoir berjudul Vagabond, yang antara lain menceritakan pengalaman menghadapi strok dan proses pemulihan yang panjang.
Dalam buku itu, Curry mengakui beliau bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup selepas mengalami insiden berkenaan.
Pemergian Curry turut mengundang penghormatan daripada ramai rakan seperjuangan dalam industri hiburan.
Pelakon Rocky Horror, Susan Sarandon, menyifatkan beliau sebagai seorang yang lucu, unik dan sentiasa menghargai peminatnya walaupun berdepan masalah kesihatan yang serius.
Dilahirkan di Warrington, England pada 1946, Curry memulakan kerjaya lakonan di pentas teater sebelum mencipta nama sebagai antara pelakon watak paling berpengaruh dalam dunia hiburan.