SWANSEA: Ribuan peminat Bonnie Tyler dijangka berhimpun di Swansea hari ini bagi menghadiri upacara penghormatan terakhir legenda muzik itu yang diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan kehidupan beliau.
Ia susulan kehadiran lautan peminat yang memenuhi jalan-jalan di Mumbles, sebuah kawasan pinggir pantai Swansea, pada Sabtu ketika keranda Tyler yang diselubungi bendera Wales dibawa melalui kawasan yang dianggapnya sebagai rumah.
Ketika perarakan bermula, lagu hit ikoniknya, Total Eclipse of the Heart berkumandang di jalan utama sambil peminat yang sebak dilihat menitiskan air mata sebelum memberikan tepukan penghormatan.
Tyler meninggal dunia secara mengejut pada 8 Julai lalu pada usia 75 tahun di sebuah hospital di Portugal.
Walaupun kerjayanya membawanya menjelajah ke seluruh dunia, penduduk Mumbles tetap mengenang beliau sebagai seorang "anak Swansea sejati" yang tidak pernah melupakan asal-usulnya.
Upacara khas untuk ahli keluarga dan tetamu jemputan akan berlangsung di Gereja St Mary's, Swansea dan disiarkan secara langsung menerusi laman web rasmi penyanyi itu.
Peminat yang hadir turut berpeluang mengikuti siaran tersebut menerusi skrin yang disediakan di luar gereja.
Selepas itu, konvoi penghormatan akan bergerak ke Skewen di daerah Neath Port Talbot, tempat Tyler dilahirkan dan dibesarkan, sebelum satu lagi upacara tertutup diadakan khusus untuk ahli keluarga.
Majlis tersebut dijangka menampilkan elemen kuat identiti Wales yang begitu dekat dengan Tyler.
Sebelum upacara bermula, pemain organ akan mempersembahkan lagu-lagu daripada legenda muzik Wales seperti Tom Jones, Shirley Bassey dan Tyler sendiri.
Kumpulan koir Only Men Aloud pula akan menyampaikan Total Eclipse of the Heart serta Bridge Over Troubled Water nyanyian Simon and Garfunkel, manakala para hadirin akan menyanyikan lagu pujian tradisional Wales, Calon Lan.
Sebagai penutup, lagu yang amat bermakna buat Tyler, Those Were The Days nyanyian Mary Hopkin pada tahun 1969, akan dimainkan.
Lagu itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana Tyler pernah membawakannya ketika menyertai pertandingan bakat tempatan di Skewen sewaktu usia mudanya.
Dilahirkan dengan nama Gaynor Hopkins, beliau kemudiannya menukar nama pentasnya kepada Bonnie Tyler bagi mengelakkan kekeliruan dengan Mary Hopkin yang berasal dari kawasan yang sama.
Pada Sabtu, ribuan orang berbaris di sepanjang Newton Road di Mumbles ketika van yang membawa mayat Tyler melalui kawasan tersebut.
Seorang peminat, Angela Powell, yang antara terawal berada di luar kediaman penyanyi itu, menyifatkan Tyler sebagai seorang yang mesra dan mudah didekati.
"Dia sangat baik, seperti seorang sahabat yang sudah lama dikenali. Ibu saya pernah menggunting rambut suaminya, Bobbie dan sebab itu beliau sering membantu kami masuk ke kelab malam yang diuruskannya tanpa perlu beratur," katanya.
Dari Berlin, Jerman, Sabine Neumann bersama anaknya, Enrico, turut hadir bagi menyertai penghormatan terakhir serta upacara yang berlangsung hari ini.
Menurut Enrico, beliau membesar dengan lagu-lagu Bonnie Tyler kerana ibunya merupakan peminat setia penyanyi itu.
"Amat istimewa dapat berada di sini bersama ibu saya. Dia sangat tersentuh kerana dapat berkongsi pengalaman ini dengan saya," katanya.
Malah, mereka sepatutnya menghadiri konsert Bonnie Tyler di Berlin pada November tahun ini.
"Ibu saya sudah menonton persembahannya di pelbagai lokasi di Jerman, tetapi saya belum pernah berpeluang berbuat demikian. Sebab itu pengalaman ini sangat bermakna buat saya," tambahnya.
Selain Total Eclipse of the Heart, Tyler turut dikenali menerusi lagu-lagu popular seperti Holding Out For A Hero dan Here She Comes.
Beliau meninggalkan suaminya, Robert Sullivan, yang dikahwininya lebih 50 tahun.
Pemergian Tyler turut mendapat penghormatan daripada ramai tokoh ternama.
Pelakon pemenang Oscar, Catherine Zeta-Jones, menyatakan beliau amat berdukacita dengan berita kehilangan "Bonnie Tyler yang sangat disayangi."
Putera Wales pula menyifatkan Tyler sebagai "ikon Wales yang membanggakan", manakala penyanyi veteran, Sir Cliff Richard berkata, beliau sedang meratapi kehilangan "seorang lagi sahabat hebat yang pergi terlalu awal."
Pada Mei lalu, Tyler pernah ditempatkan dalam keadaan koma yang diinduksi doktor selepas menjalani pembedahan kecemasan usus di Portugal.
Keluarganya kemudian memaklumkan beliau meninggal dunia akibat komplikasi penyakit yang sedang dirawat.
Total Eclipse of the Heart, lagu paling berjaya dalam kariernya, pernah menduduki tangga teratas carta muzik di kedua-dua belah Atlantik, sekali gus menjadikannya rakyat Wales pertama yang meraih lagu nombor satu di Amerika Syarikat.
Kejayaan itu turut melayakkan beliau menerima pencalonan Anugerah Grammy, selain dua lagi pencalonan menerusi album Faster Than the Speed of Night dan single Here She Comes. - Agensi