KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan harapan kepada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin untuk terus menyinari industri seni tanah air dan mengangkat martabat muzik tradisional Malaysia ke seluruh dunia.
Perkara itu dikongsikan Fahmi menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini selepas hadir menyaksikan Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh Siti Nurhaliza bersama isterinya di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Fahmi turut menyifatkan penganjuran konsert berkenaan sebagai sebuah malam yang penuh dengan keindahan seni dan irama tradisional.
“TokTi (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan pasukan telah menyajikan persembahan yang begitu bertenaga, memukau dan sarat dengan keindahan warisan budaya. Tahniah dan syabas, Biduanita Negara!
“Teruslah menyinari industri seni tanah air dan mengangkat martabat muzik tradisional Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.
Konsert Tradisional Gema Bumantara anjuran SN Legacy yang berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi berjaya menarik kehadiran 63,000 penonton walaupun berlangsung dalam hujan.
-- BERNAMA