KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga minggu menjalani sesi latihan, anggota asal kumpulan heavy metal tersohor tanah air, XPDC, dilihat semakin serasi menjelang Konsert XPDC Reunion yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Pengarah Urusan Menara Network Sdn Bhd, Datuk AB Razif Asmuni berkata keserasian serta komitmen yang ditunjukkan oleh Izo, Amy dan Zuar sepanjang tempoh latihan berjaya mengembalikan semula roh serta identiti asal XPDC yang begitu sinonim dengan era 1990-an.
Menurut beliau, usaha menyatukan kembali anggota asal kumpulan itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi sepanjang proses perancangan konsert berkenaan.
Razif berkata beliau sendiri tidak menyangka impiannya untuk melihat XPDC kembali bersatu di atas satu pentas akhirnya menjadi kenyataan apabila anggota XPDC bersama KPY, selain Izo dan Ariff, menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sesi latihan.
"Tidak mudah sebenarnya untuk merealisasikan impian menyatukan semula mereka dalam satu pentas. Ada pelbagai cabaran yang perlu dilalui namun kita mesti berpegang pada satu prinsip iaitu sabar.
"Kesabaran itu akhirnya terbayar apabila melihat kerjasama erat serta kemesraan mereka setiap kali hadir menjalani sesi latihan.
"Apa yang saya boleh katakan, peminat akan dihidangkan dengan persembahan yang mengembalikan nostalgia asal XPDC suatu ketika dahulu," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Beliau berkata lebih 85 peratus tiket konsert itu telah terjual termasuk tempat duduk kategori VIP.
Menurutnya, konsert berkenaan turut menggunakan sistem penataan bunyi bertaraf antarabangsa bagi memastikan pengalaman terbaik kepada peminat yang hadir.
Dengan sambutan yang menggalakkan, katanya, Menara Network kini mempertimbangkan untuk menganjurkan siri jelajah konsert XPDC Reunion ke seluruh negara.
"Kami tidak menyangka penggabungan anggota asal XPDC ini berjaya menarik kehadiran begitu ramai peminat dan kami menjangkakan semua tiket akan habis dijual menjelang Sabtu," katanya.
Sementara itu, Pengurus XPDC, Yazid Selamat berkata kesepakatan yang ditunjukkan oleh anggota kumpulan itu sepanjang persiapan konsert amat luar biasa.
"Jika sebelum ini kita melihat berlaku pertelagahan antara dua kelompok peminat XPDC yang berpanjangan, tapi dengan kehadiran konsert XPDC Reunion ini mereka, seakan sanggup melupakan persengketaan dan bergabung untuk sama-sama memberikan sokongan.
"Semoga dengan terlaksananya konsert ini, semangat penyatuan yang ditunjukkan peminat akan terus kekal tanpa sebarang isu selepas ini," kata Yazid.
Bagi Razif pula, beliau berharap kejayaan menyatukan semula anggota XPDC menjadi inspirasi kepada kumpulan rock lain yang berdepan perpecahan supaya kembali berdamai dan berkongsi pentas demi peminat yang sentiasa merindui penggabungan mereka.