KUALA LUMPUR: Penyanyi dan vokalis kumpulan rock terkenal Bumiputra Rockers (BPR), Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, meninggal dunia pada usia 63 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi ini.
Berita pemergian Allahyarham disahkan isterinya, Zarinah Zainal kepada portal berita Harian Metro.
Menurut Zarinah, suaminya menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.11 pagi.
Kata Zarinah, Allahyarham sebelum itu sempat membuat persembahan di Laman Santai, Istana Budaya pada malam Jumaat dengan menyampaikan dua buah lagu sebelum rebah dan dikejarkan ke HKL untuk menerima rawatan.
Zarinah berkata, pemeriksaan doktor mendapati Joey mengalami pendarahan selain mempunyai komplikasi saluran jantung tersumbat.
“Segalanya berlaku terlalu cepat. Joey seorang yang sangat baik dan saya bersyukur dipertemukan dengannya,” katanya dalam keadaan sebak seperti dilaporkan portal itu.
Pemergian Joey merupakan satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air, khususnya peminat muzik rock era 1980-an dan 1990-an yang membesar dengan lagu-lagu popular dendangan Bumiputra Rockers.
Antara lagu popular Allahyarham Joey ialah Seribu Tahun Takkan Mungkin, Harum Subur Di Hati dan Dari Sinar Mata.
Allahyarham dikenali menerusi suara unik dan persembahan bertenaga yang menjadikan BPR antara kumpulan rock yang mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.