KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Media Prima Bhd merosot 25.8 peratus kepada RM15.59 juta daripada RM21.02 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026).
Memetik laporan portal The Edge, hasil kumpulan itu turut susut 9 peratus kepada RM780.19 juta daripada RM857.01 juta susulan pengurangan pendapatan pengiklanan.
Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, The Edge melaporkan bagi suku keempat, keuntungan bersih Media Prima merosot 80.8 peratus tahun ke tahun kepada RM2.74 juta daripada RM14.26 juta.
Hasil suku tahunan jatuh 17 peratus kepada RM184.64 juta daripada RM222.47 juta.
Seterusnya perniagaan penyiaran kumpulan itu mencatatkan penurunan terbesar antara segmennya pada suku berkenaan, dengan hasil merosot 28 peratus, terutama disebabkan oleh hasil pengiklanan televisyen yang lebih rendah.
Omnia, yang merangkumi perniagaan pengiklanan kumpulan pula menyaksikan hasil susut 17 peratus, juga disebabkan oleh penurunan pendapatan daripada pengiklanan televisyen.
Bagi tahun kewangan 2027 (FY2027), Media Prima menjangkakan keadaan operasi kekal mencabar berikutan ketidaktentuan makroekonomi, ketegangan geopolitik serta perubahan dalam industri media yang boleh memberi kesan terhadap tingkah laku pengguna dan perbelanjaan pengiklanan.
Saham Media Prima ditutup tidak berubah iaitu 29.5 sen pada Rabu, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM327.2 juta.
Sejak awal tahun ini, kaunter berkenaan telah merosot 13.2 peratus.