Skip to main content

Bisnes

Sentimen meningkat, ringgit teruskan momentum mengukuh berbanding dolar AS

fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga hari ini, disokong oleh peningkatan sentimen pasaran susulan data ekonomi AS yang lebih lemah daripada jangkaan awal.

Pada 8 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.0905/0960 berbanding dolar AS daripada paras 4.0920/0960 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kelemahan data AS itu mendorong Indeks Dolar AS (DXY) susut sebanyak 0.18 peratus kepada 99.676 mata.

“Data Pemprosesan Automatik Perubahan Penggajian Bukan Perladangan (ADP) AS berada pada 44,000 pada Julai atau lebih rendah daripada jangkaan awal sebanyak 68,000, malah lebih rendah berbanding 95,000 pada Jun.

“Indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) bagi sektor bukan pembuatan AS pula mencatatkan 54.1 mata pada Julai berbanding anggaran konsensus sebanyak 54.5 mata,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata Gabenor Rizab Persekutuan (Fed) AS, Lisa Cook pula berkata akan menyokong kenaikan kadar faedah utama jika inflasi kekal tinggi secara berterusan.

“Potensi pembukaan semula Selat Hormuz menyebabkan harga minyak mentah Brent kekal di bawah paras US$80 setong. Sehubungan itu, dolar AS-ringgit dijangka didagangkan dalam julat RM4.07 hingga RM4.09 hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pakar Strategi Global Quintex Intel, Stephen Innes berkata dolar AS secara keseluruhannya lemah sedikit pada awal urus niaga walaupun sentimen risiko mula susut apabila peniaga menunggu butiran akhir mengenai potensi perjanjian damai di Asia Barat.

“Pasaran kini memasuki tempoh awal 48 jam menjelang pengumuman laporan penggajian bukan perladangan (NFP) AS yang menyebabkan peniaga bertindak meneliti semula risiko dan mengurangkan pendedahan mereka.

“Ini menunjukkan ringgit mungkin kekal diniagakan dalam julat agak kecil pada awal dagangan,” katanya.

Sewaktu pasaran dibuka hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.5942/5978 daripada 2.5940/5967, rendah berbanding euro kepada 4.7266/7329 daripada 4.7222/7268 sebelum ini namun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5087/5161 daripada 5.5107/5161.

Berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1932/1978 daripada 3.1916/1950 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.3655/3881 daripada 12.3216/3381.

Bagaimanapun, ringgit meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 228.0/228.5 daripada 228.1/228.5 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.73/6.74.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement