BAITULMUQADDIS: Pergerakan pejuang Hamas mengutuk keras tindakan tentera Israel yang menceroboh dan merampas Pusat Latihan Qalandiya milik Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di utara Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.
Serbuan pada Selasa itu diketuai Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, dan turut menyaksikan beberapa kakitangan agensi berkenaan ditahan serta disoal siasat.
Hamas berkata rampasan pusat latihan berkenaan serta tindakan menaikkan bendera Israel di pekarangan premis itu merupakan pencerobohan serius dan langkah berbahaya yang menyasarkan fungsi kemanusiaan UNRWA.
Menurut kumpulan pejuang itu, tindakan berkenaan berlaku sehari selepas lawatan perwakilan daripada 49 misi diplomatik antarabangsa ke pusat tersebut.
Hamas berkata perkembangan itu mencerminkan sikap pihak berkuasa Israel terhadap undang-undang dan norma antarabangsa.
Kumpulan itu berkata situasi berkenaan berlaku selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengakui bahawa beliau mengarahkan operasi pengosongan premis terbabit.
Sehubungan itu, Hamas menggesa komuniti antarabangsa serta institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera bagi menghalang langkah Israel terhadap UNRWA, selain memastikan keselamatan agensi yang menyediakan bantuan dan latihan vokasional kepada pelarian Palestin.