Skip to main content

Malaysia

Feri Pulau Pinang bertembung kapal, 21 cedera

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Sebuah feri Pulau Pinang yang dalam perjalanan dari bahagian pulau ke tanah besar dilaporkan bertembung dengan sebuah kapal lain pada Selasa malam.
SPPP mengesahkan kejadian berlaku dalam kawasan Pelabuhan Pulau Pinang kira-kira jam 8.40 malam. - Gambar Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seramai 21 individu dilaporkan cedera dalam insiden pelanggaran membabitkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya di perairan Pulau Pinang, malam Selasa.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin memaklumkan, semua mangsa telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala tiada lagi penumpang berada di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH).

“Semua penumpang yang tercedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan tiada lagi mangsa berada di PSAH,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.

SPPP mengesahkan kejadian berlaku dalam kawasan Pelabuhan Pulau Pinang kira-kira jam 8.40 malam.

Berdasarkan maklumat awal, MV Mekar Jaya ketika itu sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

Kapal berkenaan kemudiannya terlibat dalam pelanggaran dengan Feri Teluk Bahang yang sedang menuju ke Pangkalan Sultan Abdul Halim.

Bagaimanapun, operasi perkhidmatan feri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan kejadian itu.

“SPPP bersama-sama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil segala langkah yang sewajarnya.

“Bagi memastikan tindakan susulan yang diperlukan dapat dilaksanakan berkaitan penumpang yang terlibat serta keselamatan dan kelancaran operasi pelabuhan sentiasa terjamin,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan pelanggaran itu menyebabkan beberapa motosikal yang berada di atas feri tumbang akibat hentaman.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.58 malam.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth kemudian dikerahkan ke lokasi dan tiba sembilan minit kemudian.

Menurutnya, seramai 92 individu termasuk penumpang terlibat dalam kejadian berkenaan.


 

Must Watch Video

Advertisement