Skip to main content

Dunia

Mexico waspada ancaman banjir, tanah runtuh akibat Taufan Trudy

Bot-bot nelayan diletakkan di atas pasir selepas ditarik keluar dari laut ketika Taufan Trudy bergerak selari dengan pantai Pasifik Mexico. - Foto REUTERS
Bot-bot nelayan diletakkan di atas pasir selepas ditarik keluar dari laut ketika Taufan Trudy bergerak selari dengan pantai Pasifik Mexico. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Taufan Trudy meningkat ke Kategori 3 di timur Lautan Pasifik, membawa risiko hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di barat daya serta barat tengah Mexico.
  • Angin maksimum 195 km/j dan ombak setinggi empat hingga lima meter dijangka melanda pesisir pantai Guerrero dan Michoacan, menjejaskan aktiviti maritim.
  • Pihak berkuasa menggesa penduduk kawasan berisiko agar mematuhi arahan keselamatan dan mengikuti perkembangan semasa taufan.

ISTANBUL: Taufan Trudy yang melanda timur Lautan Pasifik meningkat kepada Kategori 3 pada Jumaat, sekali gus meningkatkan risiko hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di kawasan pesisir pantai barat daya serta barat tengah Mexico, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan Mexico (SMN), taufan itu dikesan di barat daya Acapulco di negeri Guerrero, selatan Mexico.

Trudy membawa angin dengan kelajuan maksimum 195 kilometer sejam (km/j), selain tiupan angin lebih kencang, ketika bergerak ke arah barat laut.

Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) memberi amaran bahawa taufan itu berpotensi mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang boleh mengancam nyawa di beberapa kawasan di Mexico sepanjang hujung minggu ini.

Hujan lebat dijangka melanda beberapa negeri di sepanjang pantai Pasifik, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat, kenaikan paras sungai dan limpahan air.

Antara negeri yang dijangka terjejas ialah Guerrero, Michoacan, Colima dan Jalisco, dengan pihak berkuasa terus memantau pergerakan taufan serta kemungkinan kesannya.

SMN turut memberi amaran hujan lebat di beberapa kawasan di Guerrero dan Oaxaca, dua negeri di barat daya Mexico yang berisiko mengalami banjir ketika cuaca tropika buruk.

Selain hujan lebat, angin kencang dijangka melanda kawasan pesisir pantai dan boleh menjejaskan aktiviti maritim serta membahayakan kapal yang melalui perairan berkenaan.

Menurut SMN, ombak setinggi empat hingga lima meter dijangka melanda beberapa kawasan pesisir pantai Guerrero dan Michoacan.

NHC pula memberi amaran bahawa gelombang besar yang terhasil akibat taufan itu boleh merebak ke sepanjang pantai barat daya Mexico, menyebabkan keadaan laut bergelora dan arus berbahaya.

Sehubungan itu, pihak berkuasa menggesa penduduk di kawasan pesisir pantai serta lokasi berisiko banjir dan tanah runtuh supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement