Skip to main content

Dunia

Nithya Raman menang Datuk Bandar Los Angeles

Nithya Raman, yang dipilih sebagai Datuk Bandar Los Angeles, berucap selepas menewaskan penyandang, Karen Bass, dalam pilihan raya datuk bandar di Los Angeles, California. - Foto REUTERS
Nithya Raman, yang dipilih sebagai Datuk Bandar Los Angeles, berucap selepas menewaskan penyandang, Karen Bass, dalam pilihan raya datuk bandar di Los Angeles, California. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Nithya Raman memenangi pilihan raya Datuk Bandar Los Angeles dengan 52 peratus undi, menewaskan penyandang Karen Bass.
  • Kemenangan Raman menjadikannya individu pertama keturunan Asia Selatan mengetuai bandar raya kedua terbesar di Amerika Syarikat.
  • Raman berikrar memperluaskan perumahan mampu milik, menambah baik perkhidmatan bandar dan menangani isu gelandangan di Los Angeles.
Advertisement

LOS ANGELES: Ahli Majlis Bandaraya Los Angeles yang berhaluan progresif, Nithya Raman, memenangi pilihan raya Datuk Bandar Los Angeles, sekali gus meletakkannya di landasan untuk menjadi individu pertama keturunan Asia Selatan mengetuai bandar raya kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS).

Menurut Associated Press (AP), Raman memperoleh 52 peratus undi untuk menewaskan penyandang, Karen Bass, dalam keputusan yang diumumkan pada Khamis.

Kemenangan Raman, 45, dianggap signifikan kerana beliau berjaya mengatasi Bass yang mendapat sokongan beberapa tokoh kanan Demokrat termasuk Gabenor California Gavin Newsom, bekas Naib Presiden Kamala Harris dan bekas Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi.

Advertisement

Kempen Raman turut mendapat sokongan Democratic Socialists of America (DSA), ketika gerakan politik berhaluan kiri itu mencatat peningkatan pengaruh menerusi beberapa kemenangan dalam pilihan raya pertengahan penggal AS.

DSA mendakwa telah menyumbang kepada sekurang-kurangnya 300 pencalonan atau referendum dalam pilihan raya berkenaan dan menjangkakan lebih 100 daripadanya berakhir dengan kemenangan.

Advertisement

Dilahirkan di India, Raman pernah bekerja sebagai perancang bandar sebelum menceburi politik.

Beliau pada mulanya menyokong usaha pemilihan semula Bass, namun mengubah pendirian dan menyertai perlumbaan merebut jawatan datuk bandar pada Februari lalu, hanya beberapa jam sebelum tarikh akhir pencalonan.

Dalam ucapan kemenangannya, Raman berjanji untuk mengembalikan Los Angeles sebagai sebuah bandar raya yang bercita-cita tinggi, kreatif dan berdaya saing.

"Sudah terlalu lama keadaan semasa yang rosak dan tidak adil meyakinkan penduduk Los Angeles bahawa ini sahaja yang mampu kita capai," katanya.

Beliau turut berikrar untuk memperluaskan penyediaan perumahan mampu milik, menambah baik perkhidmatan bandar yang terabai dan menangani isu gelandangan melalui penempatan lebih banyak pasukan perubatan bagi membantu golongan tidak mempunyai tempat tinggal.

Selain itu, Raman menyeru agar ketua polis Los Angeles digantikan susulan kebimbangan mengenai kerjasama jabatan itu dengan pihak berkuasa imigresen persekutuan.

Kemenangan Raman menyusuli kejayaan seorang lagi tokoh demokrat sosialis, Zohran Mamdani, yang memenangi jawatan datuk bandar New York tahun lalu.

Sementara itu, kekalahan Bass menjadikannya datuk bandar pertama Los Angeles dalam tempoh lebih dua dekad yang gagal mempertahankan jawatan untuk penggal kedua.

Sepanjang empat tahun pentadbirannya, Bass berdepan kritikan berhubung krisis gelandangan yang berlarutan serta tindak balas pihak berkuasa terhadap Kebakaran Palisades yang meragut nyawa dan memusnahkan kawasan perumahan ketika beliau berada di luar negara.

Dalam kenyataannya selepas keputusan diumumkan, Bass mengucapkan tahniah kepada Raman dan berjanji memastikan proses peralihan kuasa berjalan lancar.

"Empat tahun lalu, anda memilih saya sebagai wanita kulit hitam pertama menjadi datuk bandar dalam sejarah Los Angeles. Anda memberi saya penghormatan untuk berkhidmat kepada bandar raya yang membesarkan saya," katanya.

Beliau menambah bahawa kemajuan Los Angeles memerlukan kerjasama semua pihak.

 

Must Watch Video

Advertisement