Skip to main content

Dunia

Putera Harry, Meghan bakal kembali menetap di UK - Laporan

Britain's Prince Harry and his wife Meghan, Duchess of Sussex, leave after the National Service of Thanksgiving held at St Paul's Cathedral as part of celebrations marking the Platinum Jubilee of Britain's Queen Elizabeth, in London, Britain, June 3, 2022. REUTERS/Dylan Martinez
Putera Harry dan isterinya, Meghan dilaporkan merancang untuk kembali menetap di United Kingdom selepas lebih enam tahun tinggal di Amerika Syarikat. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

LONDON: Putera Harry dan isterinya, Meghan, Duchess of Sussex, dilaporkan merancang untuk kembali menetap di United Kingdom (UK) selepas lebih enam tahun tinggal di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan media Britain, pasangan itu dijangka berpindah dari California ke sebuah kediaman persendirian bukan diraja di luar London pada penghujung bulan ini.

Dua anak mereka, Putera Archie yang kini berusia tujuh tahun dan Puteri Lilibet, lima tahun, dilaporkan telah mendaftar untuk memulakan sesi persekolahan di Britain pada bulan depan.

Raja Charles III dimaklumkan mengenai rancangan perpindahan tersebut pada Ahad lalu. 

Bagaimanapun, tiada sebarang perancangan ketika ini untuk Putera Harry atau Meghan kembali memikul tugas rasmi sebagai anggota kerabat diraja yang bertugas.

Pasangan Sussex bersama anak-anak mereka sebelum ini mengunjungi Raja Charles di kediaman peribadinya di Highgrove pada Julai lalu. 

Difahamkan, rancangan perpindahan itu tidak dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.

Walaupun tidak mengetahui lebih awal mengenai keputusan tersebut, Raja Charles dilaporkan menyambut baik peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama Putera Harry, Meghan dan cucu-cucunya dalam suasana yang lebih peribadi serta kekeluargaan.

Namun, status rasmi pasangan itu dijangka tidak berubah, dengan kedua-duanya kekal sebagai individu persendirian dan tidak menjalankan tugas rasmi bagi pihak institusi diraja. 

Putera William dan Catherine, Puteri Wales, turut dimaklumkan mengenai rancangan perpindahan tersebut.

Putera Harry dan Meghan meninggalkan UK serta melepaskan peranan sebagai anggota kanan kerabat diraja pada awal 2020 sebelum berpindah ke AS. 

Sejak itu, hubungan mereka dengan keluarga diraja sering menjadi perhatian umum susulan beberapa episod ketegangan yang mendapat liputan meluas.

Pertemuan keluarga yang berlangsung pada Julai lalu dianggap sebagai satu perkembangan positif dalam usaha memperbaiki hubungan antara pasangan Sussex dan keluarga diraja Britain. 

Ia juga menandakan kali pertama Raja Charles bertemu secara bersemuka dengan cucu-cucunya dalam tempoh lebih empat tahun.

Sebelum itu, kali terakhir Putera Harry dan Meghan berada bersama di UK adalah pada 2022 ketika menghadiri upacara pengebumian Ratu Elizabeth II.

Isu keselamatan pula terus menjadi antara perkara yang membayangi hubungan pasangan itu dengan institusi diraja. 

Putera Harry sebelum ini gagal dalam cabaran undang-undang berhubung tahap perlindungan keselamatan yang diberikan kepada beliau dan keluarganya ketika berada di UK selepas meninggalkan peranan rasmi diraja.

Beliau juga pernah menyatakan bahawa kebimbangan terhadap aspek keselamatan menjadi faktor utama yang menghalangnya daripada kerap pulang ke Britain bersama Meghan dan anak-anak mereka.

Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, ia akan menandakan babak baharu dalam hubungan keluarga Sussex dengan Britain, meskipun mereka kekal berada di luar struktur rasmi institusi diraja. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement