Skip to main content

Dunia

Trump jadi perhatian selepas bergurau mengenai nama Mohammad dalam kempen pilihan raya

Trump menunjuk ke arah penyokong ketika meninggalkan satu acara kempen politik di Dalton, Georgia, AS. - Foto REUTERS
Trump menunjuk ke arah penyokong ketika meninggalkan satu acara kempen politik di Dalton, Georgia, AS. - Foto REUTERS

Advertisement

DALTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencetuskan kritikan selepas bergurau mengenai populariti nama Mohammad dalam kalangan umat Islam ketika berucap pada satu kempen politik di Georgia pada Jumaat.

Ketika menyentuh mengenai Iran, Trump berkata seseorang mempunyai peluang tinggi untuk meneka nama individu dari Asia Barat dengan memanggil mereka "Mohammad".

Mohammad merupakan antara nama lelaki paling lazim dalam kalangan umat Islam dan sering diberikan sempena Nabi Muhammad SAW.

Trump kemudian meneruskan gurauan itu dengan berpura-pura bertanya kepada beberapa individu bernama Mohammad sama ada mereka mahu menjadi Presiden Iran, sambil menyindir jawatan tersebut.

Iran kini dipimpin oleh Presiden Masoud Pezeshkian sejak 2024.

Gurauan itu menerima reaksi hambar daripada hadirin yang menghadiri acara kempen di Lapangan Terbang Perbandaran Dalton menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada 3 November.

Kumpulan hak asasi manusia dan pertubuhan advokasi Muslim sebelum ini berulang kali mengkritik Trump atas kenyataan yang didakwa memperlekehkan umat Islam, pendatang serta golongan minoriti etnik.

Dalam ucapannya, Trump turut mengulangi pendiriannya bahawa Iran tidak akan dibenarkan memiliki senjata nuklear, beberapa bulan selepas AS dan Israel melancarkan serangan terhadap negara itu yang sebahagiannya bertujuan menjejaskan program nuklear Tehran.

Laporan tahunan Council on American-Islamic Relations (CAIR) yang diterbitkan awal tahun ini turut mengaitkan peningkatan sentimen Islamofobia di AS dengan dasar imigresen serta tindakan pentadbiran Trump terhadap demonstrasi pro-Palestin.

 

 

Must Watch Video

Advertisement