Skip to main content

Dunia

Trump jadikan 9/11 modal kempen, gesa pengundi Michigan tolak El-Sayed

Presiden Trump menari ketika menghadiri perhimpunan bagi menyokong calon Republikan bagi kerusi Senat AS, Mike Rogers, menjelang pilihan raya pertengahan penggal, di sebuah kompleks hiburan di Port Huron, Michigan, Amerika Syarikat, pada Ahad. - Gambar Reuters
Presiden Trump menari ketika menghadiri perhimpunan bagi menyokong calon Republikan bagi kerusi Senat AS, Mike Rogers, menjelang pilihan raya pertengahan penggal, di sebuah kompleks hiburan di Port Huron, Michigan, Amerika Syarikat, pada Ahad. - Gambar Reuters

Advertisement

MICHIGAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meningkatkan serangannya terhadap calon Senat Demokrat, Abdul El-Sayed dengan mendakwa beliau kepada golongan radikal dalam satu perhimpunan kempen di Michigan pada Ahad, menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang dijadualkan berlangsung pada 3 November.

Berucap di hadapan penyokongnya di Port Huron, Trump berkata, beliau juga mahu menghalang seorang "anggota Ikhwanul Muslimin" daripada menjadi senator AS, sambil mendakwa Parti Demokrat akan membenarkan pengganas anti-Amerika memasuki negara itu.

Sekiranya menang, El-Sayed akan menjadi Muslim pertama dipilih ke Senat AS. 

Sejak beberapa bulan lalu, Trump berulang kali menggambarkan beliau sebagai tokoh radikal yang anti-Amerika.

Dalam ucapan terbarunya itu, Trump turut membuat perbandingan antara El-Sayed dan perampas pesawat United Flight 93 yang terlibat dalam serangan pengganas 11 September 2001 (9/11).

Beliau menggesa pengundi Michigan mencontohi tindakan mendiang Todd Beamer, anak kelahiran negeri itu yang terkenal kerana menentang perampas pesawat Flight 93.

"Dua puluh lima tahun kemudian, Michigan perlu bangkit dan melawan seperti yang dilakukan Todd untuk menghalang seorang jihadis daripada melangkah masuk ke Capitol," kata Trump.

Trump turut mencetuskan kontroversi apabila mendakwa El-Sayed akan menjadi satu-satunya senator yang perlu melalui pengesan logam sebelum dibenarkan memasuki Dewan Senat.

El-Sayed sifatkan tuduhan sebagai memalukan

El-Sayed menolak semua dakwaan berkenaan dan sebelum ini mempertahankan pegangan agamanya dalam satu iklan kempen.

"Keimanan adalah sesuatu yang terlalu sedikit wujud di Washington," katanya.

Sementara itu, calon Republikan Mike Rogers turut mendakwa tanpa mengemukakan bukti bahawa El-Sayed mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin, antara gerakan Islam paling berpengaruh di dunia Arab.

El-Sayed menafikan sebarang hubungan dengan organisasi tersebut dan menyifatkan tindakan Rogers mempersoalkan kesetiaannya kepada AS sebagai sesuatu yang "memalukan."

Dalam temu bual bersama NBC sebelum perhimpunan itu, Rogers berkata, El-Sayed gagal menjawab persoalan berkaitan dakwaan tersebut dengan memuaskan.

Beliau turut menyifatkan lawannya sebagai calon yang selari dengan ideologi Democratic Socialists of America serta mendapat sokongan kumpulan yang menurutnya mempunyai pandangan radikal.

Obama pertahan El-Sayed

Ucapan Trump itu hadir sehari selepas bekas Presiden Barack Obama berkempen untuk Demokrat di Michigan, sekali gus menonjolkan kepentingan negeri berkenaan dalam pilihan raya akan datang.

Dalam perhimpunan di Detroit pada Sabtu, Obama menuduh lawan politik El-Sayed cuba menggambarkan calon itu sebagai kurang patriotik dan kurang "Amerika" berbanding mereka.

Obama berkata, taktik tersebut mengingatkannya kepada tuduhan palsu yang pernah dilemparkan terhadap dirinya kononnya dilahirkan di Kenya.

"Kita pernah melihat filem ini sebelum ini. Saya pernah menjadi watak utamanya.

"Taktik ini tidak berjaya terhadap saya, khususnya di Michigan dan ia juga tidak akan berjaya terhadap Abdul," katanya.

Tarif Kanada terus jadi isu utama

Perhimpunan Trump turut menumpukan kepada isu ekonomi, khususnya pertikaian tarif antara AS dan Kanada yang memberi kesan kepada industri automotif berpangkalan di Detroit.

Kawasan Port Huron terletak dalam wilayah yang dimenangi Trump dengan lebih 66 peratus undi pada pilihan raya presiden 2024.

Rogers memuji dasar tarif Trump kerana membantu menarik pelaburan sektor pembuatan ke Michigan, termasuk oleh Chevrolet dan Detroit Diesel.

Bagaimanapun, beliau mengakui tarif yang melibatkan industri automotif menimbulkan kebimbangan tertentu.

"Ada perkara yang baik dan ada juga beberapa perkara yang perlu diperbaiki," katanya.

Dalam temu bual bersama Fox News sebelum perhimpunan itu, Trump memuji Rogers sebagai calon yang berkongsi nilai serta kepercayaan pengundi Michigan.

"Dia akan menjadi senator yang hebat. Kukuh dan boleh dipercayai," kata Trump.

Pilihan raya pertengahan penggal kali ini dianggap kritikal kerana Demokrat hanya memerlukan beberapa kerusi tambahan di Senat dan Dewan Perwakilan untuk menamatkan majoriti tipis Republikan dalam kedua-dua dewan Kongres. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement