Skip to main content

Dunia

UNRWA gesa masyarakat antarabangsa bantu linduni pusat latihan susulan serbuan Israel

A general view of a UN training compound in Qalandia, in the Israeli-occupied West Bank, August 25, 2026. REUTERS/Ammar Awad
Pemandangan sebuah kompleks latihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Qalandia, Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) menggesa masyarakat antarabangsa pada Selasa  supaya bertindak “serta-merta dan tegas” untuk melindungi Pusat Latihan Qalandia di utara Baitulmuqaddis selepas pasukan keselamatan Israel menyerbu kemudahan berkenaan.

“Hari ini pada kira-kira 10:00 pagi, Pasukan Keselamatan Israel menceroboh secara paksa” pusat berkenaan di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, kata UNRWA dalam satu kenyataan, lapor Anadolu Ajansi.

Sekurang-kurangnya empat kenderaan berperisai memasuki premis itu, diiringi lebih 50 anggota keselamatan Israel, katanya.

Kira-kira 20 kakitangan UNRWA berada di lokasi kejadian semasa insiden itu berlaku, kata agensi berkenaan.

“Tindakan pencerobohan pasukan keselamatan bersenjata ke dalam kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tanpa kebenaran atau persetujuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tidak boleh diterima,” katanya.

Awal Selasa, tentera Israel melancarkan serbuan di Kampung Kafr Aqab dan Kem Pelarian Qalandia di utara Baitulmuqaddis, memaksa kakitangan agensi mengosongkan pusat latihan itu.

Pasukan Israel turut mengeluarkan notis amaran roboh bagi beberapa struktur milik penduduk Palestin di kawasan berkenaan.

Menteri Keselamatan Nasional Israel Itamar Ben-Gvir bangga dengan serbuan ke atas pusat latihan itu, manakala Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau memberikan arahan secara langsung bagi operasi berkenaan, yang bertentangan dengan perlindungan PBB dan amaran antarabangsa.

Serbuan itu berlaku sehari selepas wakil daripada 49 misi diplomatik yang diiktiraf ke  Palestin melawat pusat berkenaan untuk menilai keadaan yang dihadapi pelarian serta sekatan Israel terhadap perkhidmatan agensi itu.

Ben-Gvir menyertai serbuan berkenaan, memuat naik foto dirinya di pintu masuk pusat itu di media sosial dan menunjukkan bendera Israel yang dikibarkan di atas kemudahan berkenaan oleh pasukan tentera Israel.

“UNRWA kini di tangan kami,” kata Ben-Gvir mendabik dada dalam hantaran di media sosial berkenaan.

Serbuan ke atas kemudahan itu berlaku ketika pentadbiran Netanyahu berusaha menyenangkan hati penyokong haluan kanan tegar di tengah-tengah tekanan politik domestik yang semakin meningkat, menurut penganalisis politik.

Netanyahu, bagi pihak beliau, berkata pengosongan kakitangan UNRWA dari pusat itu dijalankan atas arahan langsung beliau.

“Selaras dengan arahan saya dan berikutan undang-undang yang kami luluskan, pengosongan premis UNRWA di Kafr Aqab, Baitulmuqaddis, bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pentadbirannya tidak akan membenarkan UNRWA beroperasi dan “akan bertindak menentangnya dengan segala saluran yang ada.”

Tindakan Netanyahu itu berlaku walaupun pada hakikatnya kemudahan UNRWA dilindungi -- sekurang-kurangnya secara teori -- oleh hak dan keistimewaan yang diberikan kepada PBB di bawah undang-undang antarabangsa.

Awal bulan ini, UNRWA berkata Pusat Latihan Qalandia merupakan kemudahan latihan vokasional PBB.

Ia menegaskan bahawa semua kemudahan agensi itu, termasuk Pusat Qalandia, dilindungi oleh keistimewaan dan kekebalan PBB di bawah undang-undang antarabangsa.

Agensi itu mengimbau kembali bahawa pusat berkenaan ditubuhkan pada 1952 sebagai pusat latihan pertamanya, sambil menambah bahawa ia menyediakan latihan teknikal dan vokasional kepada kira-kira 340 belia pelarian Palestin setiap tahun.

Pada awal 2025, Israel menutup ibu pejabat utama UNRWA di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki dan kemudiannya mengumumkan rampasan premis berkenaan oleh pihak berkuasa.

UNRWA ditubuhkan pada 1949 menerusi resolusi Perhimpunan Agung PBB, dan diamanahkan untuk menyediakan bantuan -- serta memperluas perlindungan -- kepada pelarian Palestin di Jordan, Syria, Lubnan , Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

TAG: Palestin, UNRWA, serbuan Israel 

Must Watch Video

Advertisement