Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: Malaysia salur AS$1 juta, hantar pasukan SMART

PUTRAJAYA, 18 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 “Malaysia MADANI : Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi” Bersama Wakil Kerajaan dan Agensi Bukan Kerajaan di Kementerian Kewangan hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana berkenaan - Foto fail/ BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa banjir serta menyokong usaha pemulihan pascabencana di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia pada masa sama akan menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana berkenaan.

"Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dengan kerjasama Kementerian Luar (KLN), dipertanggungjawabkan menyelaras dengan kerajaan Nepal bagi membolehkan pasukan itu digerakkan sesegera mungkin.

Beliau berkata penugasan SMART turut mencerminkan komitmen Malaysia untuk membantu negara yang dilanda bencana, selain memberi keutamaan kepada keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas.

Pihak berkuasa bencana Nepal menyenaraikan 933 pekerja sektor hidroelektrik antara yang masih hilang di kawasan berkenaan, selain 517 warga asing termasuk pengembara dan penganut Hindu yang melakukan ziarah ke Gunung Kailash yang dianggap suci di Tibet.

Semalam, KLN dalam kenyataan memaklumkan tiada rakyat Malaysia dalam senarai 771 orang yang telah diselamatkan dalam operasi SAR di Rasuwa, Nepal.

Menurut kenyataan itu, 55 rakyat Malaysia di Nepal juga masih belum dapat dihubungi, manakala dua lagi telah berjaya dihubungi.

Must Watch Video

Advertisement