KOTA BHARU: Bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Wan Omar Wan Majid meninggal dunia di rumahnya di Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh pada 3.25 pagi tadi kerana sakit tua.
Perkara itu disahkan anak keduanya, Kapten (B) Wan Marzudi Wan Omar ketika dihubungi Bernama hari ini.
"Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Raja Dagang, Pasir Puteh kira-kira 11 pagi tadi," katanya.
Wan Marzudi berkata arwah ayahnya pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak selama dua penggal dari 1974 hingga 1982.
"Arwah juga berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pasir Puteh dari 1986 hingga 1995 atas tiket UMNO dan Semangat 46," katanya.
-- BERNAMA