Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Ketidaktentuan Sarawak perlu diurus tanpa lemahkan Petronas – Wan Fayhsal

Wan Fayhsal mahu kerajaan menjelaskan bagaimana Petronas dapat terus menanggung komitmen kewangan kepada negara, termasuk subsidi, tanpa menjejaskan keupayaannya menghadapi cabaran industri tenaga pada masa hadapan.
Wan Fayhsal mahu kerajaan menjelaskan bagaimana Petronas dapat terus menanggung komitmen kewangan kepada negara, termasuk subsidi, tanpa menjejaskan keupayaannya menghadapi cabaran industri tenaga pada masa hadapan.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kebergantungan kerajaan kepada Petronas untuk menjana pendapatan negara perlu diseimbangkan dengan keupayaan syarikat minyak nasional itu mengekalkan pelaburan dan menjamin keselamatan tenaga, khususnya ketika ketidaktentuan kerangka kawal selia minyak dan gas di Sarawak masih belum menemui penyelesaian.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata perkembangan berhubung pertikaian perjanjian gas antara Petronas dan kerajaan Sarawak perlu ditangani dengan teliti bagi mengelakkan kedudukan kewangan syarikat itu terjejas.

“Ditambah pula dengan kemelut perjanjian gas dengan Sarawak, yang mana kita belum tahu kesudahannya bagaimana,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Petronas dan kerajaan Sarawak sebelum ini memfailkan petisyen berasingan di Mahkamah Persekutuan berhubung kesahan serta pemakaian undang-undang negeri dan Persekutuan berkaitan industri minyak dan gas.

Isu itu turut memberi kesan kepada kepastian operasi Petronas, terutama di perairan berhampiran Borneo yang menempatkan lebih 60 peratus rizab gas Malaysia.

Petronas sebelum ini menegaskan kejelasan undang-undang diperlukan bagi memastikan operasi di kawasan berkenaan dapat diteruskan dalam kerangka kawal selia yang jelas.

Mengulas kepentingan syarikat itu ketika ketidaktentuan pasaran tenaga global, Wan Fayhsal berkata Petronas kekal sebagai antara tonggak utama keselamatan tenaga negara, lebih-lebih lagi ketika krisis di Asia Barat menjejaskan laluan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz.

“Saya ingin sentuh benar-benar soal keselamatan tenaga, kedaulatan tenaga kita.

“Petronas sekali lagi menjadi ayam tambatan.

“Sebelum ini saya kata angsa bertelur emas.

Tetapi yang pastinya dalam bahasa Melayu, Petronas adalah ayam tambatan,” ujarnya.

Pada Mac lalu, Petronas memaklumkan hampir 40 peratus keperluan minyak mentah Malaysia melalui Selat Hormuz.

Krisis berkenaan turut meningkatkan harga minyak mentah, kos penghantaran dan premium insurans, sedangkan permintaan domestik terhadap petrol dan diesel melebihi bekalan yang dihasilkan dalam negara.

Dalam keadaan itu, operasi bersepadu Petronas membantu memastikan bekalan bahan api mencukupi, sekali gus menyokong hampir separuh daripada pasaran bahan api domestik sepanjang krisis berkenaan.

Bagaimanapun, Wan Fayhsal membangkitkan persoalan mengenai tekanan terhadap Petronas untuk menyokong perbelanjaan kerajaan, sedangkan syarikat itu perlu mengekalkan kapasiti kewangan bagi pelaburan jangka panjang dalam industri minyak dan gas yang memerlukan modal besar.

“Pada ketika ini, kerajaan sedang menggasak Petronas untuk menampung belanjawan.

“Bukan kita tidak boleh, boleh. Tetapi kita kena ingat Petronas perlu simpan untuk masa-masa mendatang, khususnya pelaburan dalam perkara-perkara melibatkan minyak dan gas yang begitu padat modal,” jelasnya.

Di bawah Belanjawan 2027, sumbangan Petronas kepada hasil kerajaan diunjurkan sebanyak RM32 bilion, bersamaan kira-kira 8.4 peratus daripada keseluruhan hasil Persekutuan berjumlah RM380.8 bilion.

Pada separuh pertama 2026, Petronas turut mengisytiharkan dividen RM20 bilion kepada pemegang sahamnya.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, Petronas merekodkan hasil RM152.4 bilion dan keuntungan bersih selepas cukai RM27.2 bilion.

Pada tempoh sama, pelaburan modalnya meningkat lebih dua kali ganda kepada RM41.4 bilion, sebahagian besarnya bagi aktiviti penerokaan dan pembangunan huluan.

Bagaimanapun, tunai dan dana syarikat itu berkurangan kepada RM193.6 bilion setakat 30 Jun, berbanding RM204.4 bilion pada akhir 2025.

Tunai bersih pula susut kepada RM66.8 bilion, paras terendah dalam tempoh lima tahun.

Sehubungan itu, Wan Fayhsal mahu kerajaan menjelaskan bagaimana Petronas dapat terus menanggung komitmen kewangan kepada negara, termasuk subsidi, tanpa menjejaskan keupayaannya menghadapi cabaran industri tenaga pada masa hadapan.

“Dengan Petronas menampung subsidi yang begitu banyak, apakah taraf kesihatan Petronas untuk menampung belanjawan negara?

“Kerajaan perlu jelaskan kepada rakyat bagaimana Petronas akan menghadapi cabaran-cabaran ini sambil terus menyokong negara,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement