KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam keadaan selesa untuk mara ke final Piala FA selepas menewaskan DPMM FC 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei, malam ini.
Kemenangan itu memberikan kelebihan kepada skuad Harimau Selatan menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri 8 Nov ini.
JDT, yang muncul juara pada 2016, 2022, 2023, 2024 dan 2025, kini berpeluang memburu kejuaraan keenam sekiranya berjaya melangkah ke final buat kali kelima berturut-turut.
Pada aksi malam ini, penyerang Bergson da Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-21 sebelum Eddy Israfilov menggandakan kelebihan pelawat pada minit ke-72 untuk memastikan kemenangan 2-0.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, Selangor FC membawa bekalan tipis ke perlawanan timbal balik selepas menewaskan Kuching City FC 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Kuching City bimbingan Aidil Sharin Sahak mengejutkan tuan rumah apabila Ramadhan Saifullah meletakkan pasukan pelawat di hadapan seawal minit kesembilan.
Bagaimanapun, Selangor kendalian Kim Pan Gon bangkit menyamakan kedudukan menerusi Eduardo Sosa pada minit ke-19 sebelum pemain itu sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-58 untuk memastikan kemenangan skuad Gergasi Merah.
Aksi timbal balik separuh akhir kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung pada 8 Nov ini, dengan Kuching City menjadi tuan rumah kepada Selangor di Stadium Sarawak, Kuching.
-- BERNAMA