KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia khususnya generasi muda perlu memahami bahawa kemerdekaan negara bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu dipertahankan secara berterusan bagi memastikan kedaulatan dan keharmonian Malaysia terus terpelihara.
Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Roy Anthony Rogers berkata, generasi muda perlu menghargai pengorbanan generasi terdahulu yang telah berjuang bermati-matian bagi mencapai kemerdekaan negara.
Menurutnya, walaupun generasi muda hari ini tidak mendepani detik ketika perjuangan kemerdekaan, mereka perlu menyedari bahawa keamanan dan keselesaan yang dinikmati ketika ini bukanlah sesuatu yang diperoleh dengan mudah.
“Tahun depan kita akan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-70, tujuh dekad, jadi generasi muda akan mewarisi kemerdekaan ini.
“(Walaupun) mereka (generasi muda) tidak terlibat secara langsung dalam usaha memperjuangkan kemerdekaan dan kebanyakan daripada mereka termasuk saya sendiri tidak mengalami proses kemerdekaan itu, tetapi apa yang sering saya katakan kita tidak boleh take for granted bahawa kemerdekaan yang dicapai itu akan terus berkekalan.
“Ia perlu dipertahankan dengan sedaya upaya dan generasi muda harus sedar bahawa kemerdekaan dan keselesaan yang kita nikmati hari ini bukanlah sesuatu yang diberi begitu sahaja, ia adalah atas titik peluh, pengorbanan generasi-generasi yang terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Dialog Negara Bangsa terbitan Astro AWANI dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara yang membincangkan topik Patriotisme: Jiwa yang Membentuk Negara Bangsa.
Dalam pada itu, Dr Roy Anthony berkata, pembentukan identiti nasional yang kukuh tidak semestinya memerlukan masyarakat mengetepikan identiti kaum, etnik dan agama masing-masing.
Sebaliknya, katanya, kepelbagaian masyarakat Malaysia boleh menjadi asas untuk membina semangat kebersamaan melalui aktiviti yang merentas perbezaan kaum.
Beliau menjelaskan, sukan merupakan antara medium berkesan untuk menyatukan rakyat apabila masyarakat daripada pelbagai latar belakang memberikan sokongan kepada atlet dan pasukan negara tanpa mengira kaum atau etnik.
“Ada beberapa cara yang mana kita dapat menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa kerana di Malaysia kita sedia maklum merupakan sebuah negara yang majmuk, (memiliki) pelbagai bangsa dan agama, tetapi pada masa sama masih mengekalkan identitinya sebagai satu bangsa Malaysia.
“Antaranya melalui aktiviti sukan misalnya semasa aktiviti sukan, baik sama ada di peringkat tempatan mahu pun di peringkat antarabangsa.
“Kita saksikan misalnya semasa temasya Sukma, penyertaan itu melibatkan pelbagai bangsa, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan di peringkat antarabangsa misalnya Sukan Asean yang baru-baru ini diadakan, kita bersorak, kita bagi sokongan, bukan kepada bangsa Melayu, Cina dan India, tetapi kita bagi sokongan kepada Malaysia,” katanya lagi.
Selain sukan, beliau berkata, makanan turut menjadi elemen penting yang mencerminkan proses integrasi sosial dalam masyarakat Malaysia.
Menurutnya, makanan seperti Nasi Lemak, Nasi Kerabu, Yong Tau Foo dan Tosai bukan sahaja dinikmati oleh masyarakat yang berkongsi asal-usul budaya makanan tersebut, malah turut mendapat tempat dalam kalangan masyarakat berbeza kaum.
Beliau berkata, perkongsian budaya melalui makanan memperlihatkan bagaimana interaksi antara masyarakat dapat membentuk hubungan yang lebih erat tanpa menghilangkan identiti asal sesuatu kaum.
Pada masa sama, Dr Roy Anthony turut menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan sebagai satu lagi ruang yang menghimpunkan rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk meraikan kemerdekaan dan menyatakan kesetiaan kepada negara.
Jelasnya, penyertaan masyarakat dalam sambutan berkenaan melambangkan bahawa identiti Malaysia dibina melalui nilai bersama, rasa bangga terhadap negara dan kesediaan untuk hidup dalam kepelbagaian.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pemupukan patriotisme perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh integrasi nasional supaya generasi muda bukan sahaja memahami sejarah kemerdekaan, malah memainkan peranan aktif dalam mempertahankan perpaduan dan membina masa depan negara.