Skip to main content

Malaysia

Harga petrol, diesel tanpa subsidi naik lima sen bagi tempoh 27 Ogos hingga 2 Sept - MOF

41635935636_petrolpump.jpg
MOF menjelaskan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.83 seliter bagi pengguna yang layak BUDI95, bersamaan dengan kira-kira 48 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik lima sen seliter bagi tempoh 27 Ogos hingga 2 Sept ini.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bagi tempoh tersebut, harga RON97 ditetapkan pada RM4.30 seliter berbanding RM4.25 sebelum ini, RON95 tanpa subsidi pada harga RM3.82 seliter berbanding RM3.77 dan diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.72 seliter berbanding RM4.67.

Pada masa sama, harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 mengikut BUDI MADANI RON95 (BUDI95) manakala RM2.10 seliter bagi diesel berdasarkan program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

MOF menjelaskan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.83 seliter bagi pengguna yang layak BUDI95, bersamaan dengan kira-kira 48 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa.

Bagi BUDI Diesel pula, subsidi ditanggung adalah RM2.62 seliter atau 56 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan ketidaktentuan geopolitik dunia yang berlarutan terus memberikan tekanan terhadap harga dan bekalan petroleum global,.

Sepanjang sebahagian besar tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga minyak mentah Brent kekal melebihi USD90 setong.

“Sekatan trafik di Selat Hormuz yang berterusan terus mengekang bekalan minyak dunia. Selepas 179 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, sekitar 290 juta daripada 400 juta tong minyak yang dipersetujui untuk dilepaskan daripada simpanan kecemasan negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah disalurkan ke pasaran setakat Julai 2026. 

“Penyusutan penampan bekalan ini meningkatkan risiko tekanan harga sekiranya gangguan berterusan. Pada masa sama, gangguan terhadap kapasiti penapisan di Asia Barat dan Rusia terus mengurangkan bekalan produk petroleum bertapis,” menurut MOF.

Menurut MOF keadaan itu memberikan tekanan lebih ketara terhadap harga diesel berbanding petrol, berikutan pasaran diesel global yang semakin ketat.

“Walaupun harga minyak mentah dunia menurun pada penghujung tempoh pengiraan APM, penurunan tersebut belum mencukupi untuk mengimbangi paras harga yang lebih tinggi bagi sebahagian besar minggu sebelumnya.

“Selagi aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal dan ketidaktentuan geopolitik berterusan, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara dalam tempoh terdekat,” menurut MOF.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement