Ringkasan AI
- Malaysia naik ke tangga ke-40 daripada 133 negara dalam Chandler Good Government Index (CGGI) 2026, meningkat dua anak tangga berbanding 2025.
- Perdana Menteri menegaskan pencapaian ini mengiktiraf usaha kerajaan, namun masih ada ruang penambahbaikan dalam penyelarasan dan pelaksanaan dasar.
- Kerajaan MADANI kekal fokus membina institusi kukuh, mempertingkat mutu perkhidmatan awam dan memastikan manfaat pembangunan dirasai rakyat.
KUALA LUMPUR: Peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga ke-40 daripada 133 negara dalam Chandler Good Government Index (CGGI) 2026, merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan, integriti dan keberkesanan pentadbiran negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Anwar berkata pencapaian itu bukan alasan untuk kerajaan berpuas hati, sebaliknya masih terdapat ruang yang perlu diberi perhatian.
“Pencapaian ini bukan alasan untuk kita berpuas hati. Masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian, khususnya dalam memperkukuh penyelarasan antara agensi serta memastikan setiap dasar dan perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata keutamaan Kerajaan MADANI kekal untuk membina institusi yang teguh, mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan setiap usaha pembangunan membawa manfaat nyata kepada rakyat.
“Akhirnya, kejayaan sesebuah kerajaan bukan sekadar diukur melalui kedudukan dalam indeks antarabangsa, tetapi melalui perubahan yang dapat dirasai dalam kehidupan rakyat,” kata beliau.
Malaysia mencatat peningkatan dua anak tangga berbanding kedudukan ke-42 pada 2025 dalam indeks berkenaan, yang menilai prestasi tadbir urus negara menerusi tujuh tonggak utama.
Tujuh tonggak itu merangkumi Leadership & Foresight (Kepimpinan & Pandangan Jauh), Attractive Marketplace (Pasaran yang Menarik), Financial Stewardship (Pengurusan Kewangan), Robust Laws & Policies (Undang-undang & Dasar yang Teguh), Global Influence & Reputation (Pengaruh & Reputasi Global), Helping People Rise (Membantu Rakyat Meningkat) dan Strong Institutions (Institusi yang Kukuh).
Dalam senarai 2026, Malaysia berada di belakang China yang menduduki tangga ke-39, Slovakia (38) dan Arab Saudi (37).
Singapura mengekalkan kedudukan teratas untuk tahun keempat berturut-turut sejak 2023, diikuti Norway di tempat kedua dan Denmark (ketiga).
-- BERNAMA