Skip to main content

Malaysia

Kelulusan kemasukan pekerja asing boleh dipercepatkan dengan syarat - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir mempengerusikan Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) Siri Ke-14 Kementerian Pendidikan Tinggi bersama SD Guthrie di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir mempengerusikan Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) Siri Ke-14 Kementerian Pendidikan Tinggi bersama SD Guthrie di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mempercepatkan kelulusan permohonan pekerja asing bagi sektor perladangan yang benar-benar memerlukan tenaga kerja asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu perlu berdasarkan keperluan sebenar industri dengan syarat syarikat tersebut komited mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing melalui mekanisasi.

"Saya setuju. Malah mesyuarat Jemaah Menteri tadi saya arah KESUMA untuk luluskan perkara yang mendesak tanpa ikut proses yang terlalu leceh.

Advertisement

"Whilst I agree with you, and I think I will take it up with the minister concerned (Walaupun saya bersetuju dengan anda, saya rasa saya akan membincangkan perkara ini dengan menteri yang berkenaan), bahawa kalau khusus dalam bidang yang dikatakan pengawitan (diperlukan tenaga pekerja asing), okey, we'll approve for that (kita akan meluluskannya).

"Then, you give an undertaking that you will reduce through mechanisation (Kemudian, anda memberikan aku janji bahawa anda akan melakukan pengurangan melalui mekanisasi)," beliau berkata demikian ketika menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia Madani (FIM) di ibu negara pada Jumaat.

Advertisement

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Kerajaan akan memperketat dasar pengambilan pekerja asing bagi mengurangkan kebergantungan industri pembuatan terhadap tenaga kerja luar, khususnya dalam pekerjaan berkemahiran rendah.

Mengulas perkara itu, Anwar mengakui sekatan pengambilan pekerja asing yang terlalu ketat boleh menjejaskan pengeluaran dan pertumbuhan ekonomi negara, seperti yang pernah berlaku ketika pandemik COVID-19.

"Nak ketatkan akan menyebabkan industri terjejas. Nak longgarkan dia menimbulkan masalah-masalah ekonomi dan sosial yang berat," katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut mengecam amalan eksploitasi pekerja asing yang disifatkannya sebagai satu bentuk perhambaan moden, termasuk penahanan pasport oleh ejen, kos pengambilan yang melambung serta keadaan tempat tinggal yang tidak berperikemanusiaan.

Beliau menegaskan, usaha memenuhi keperluan tenaga kerja industri tidak seharusnya mengabaikan prinsip keadilan sosial dan kebajikan pekerja asing.

"Kadang-kadang it's so dehumanising. I don't understand (ia sangat merendahkan martabat manusia. Saya tak faham), kita bercakap soal MADANI, kita bercakap soal keadilan sosial dan sebagainya, tapi tengok sesetengah kilang macam mana dia letak pekerja-pekerja, duduk macam tempat hamba abdi tahun seratus tahun yang lalu.

"I cannot accept that (Saya tak boleh terima)," katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan kini sedang mengadakan rundingan dengan negara sumber bagi memastikan kos pengambilan pekerja asing dapat dikurangkan kepada kadar yang lebih munasabah.

"Ini kos pada ejen itu melambung-lambung. Jadi, ejen yang ambil gaji, ejen simpan pasport, ini saya sebut sebagai modern slavery dan kita tidak boleh biarkan itu," katanya.

Anwar menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap sebarang bentuk penganiayaan pekerja, termasuk warga asing, selaras dengan prinsip keadilan dan kemanusiaan yang menjadi teras Ekonomi MADANI.

Must Watch Video

Advertisement