KLUANG: Seorang lelaki warga emas maut manakala enam lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Ladang Sindora menuju Ulu Belitong, Renggam, di sini petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam PBK Ramli Said berkata panggilan kecemasan diterima pada 3.38 petang berhubung insiden melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Ertiga dan kereta Honda Civic.
Beliau berkata enam anggota dari BBP Renggam bersama sebuah jentera FRT dikejarkan ke tempat kejadian dan bertindak mengeluarkan mangsa daripada MPV terbabit.
“Pemandu Proton Ertiga yang berusia 60-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi penumpang dalam kenderaan sama berusia antara lapan hingga 54 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu dan dua penumpang kereta Honda Civic yang merupakan ahli keluarga juga cedera ringan. Anggota bomba bertugas turut memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan ke pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang maut diserah ke pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada 5.45 petang.
--BERNAMA