KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak memberikan sebarang komitmen untuk mengekstradisi pendakwah, Dr. Zakir Naik ke India, tegas Datuk Seri Saifuddion Nasution Ismail.
Menurut Menteri Dalam Negeri itu, setakat ini tiada permohonan ekstradisi terbaharu diterima daripada Kerajaan India berhubung perkara itu.
Kata beliau, permohonan rasmi ekstradisi terhadap Zakir Naik sebelum ini diterima pada 19 Januari 2018.
Kerajaan Malaysia juga, jelasnya, turut menerima nota diplomatik daripada Kerajaan India pada 29 Mei 2020 yang memohon supaya permohonan ekstradisi berkenaan dipertimbangkan semula.
Bagaimanapun, Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah itu ke India.
“Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” menurut Saifuddin dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Saifuddin menjelaskan, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang ditandatangani bersama Kerajaan India pada 2010 serta peruntukan di bawah Akta Ekstradisi 1992.
Saifuddin menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini permohonan ekstradisi Zakir Naik oleh Kerajaan India, termasuk pematuhan dokumen dan keterangan terhadap kehendak undang-undang serta perjanjian antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, kerajaan digesa memperjelaskan status perundangan serta diplomatik bagi permohonan ekstradisi yang dipercayai dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan rakan sejawat dari India, Narendra Modi.
Dr Zakir Naik dikehendaki India kerana dakwaan pengubahan wang haram dan menyampaikan ucapan berunsur kebencian.