Skip to main content

Malaysia

Kerja rawatan tanah KB Sentral lewat 21 hari

GUA MUSANG, 30 Jun -- Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Dr Izani Husin ketika berucap pada program Tok Nenek Bubu Yong Yap (TNBYY) Ultra 2024 sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-53 bertemakan 'Hutan dan Inovasi' di Eco Rehat dan Rawat (R&R) Lojing Highlands hari ini.  --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Izani Husin berkata kelewatan itu antaranya disebabkan faktor cuaca susulan hujan lebat berterusan setiap petang dan malam sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan air bertakung di tapak projek. - Gambar fail
Advertisement

KOTA BHARU: Kerja rawatan tanah projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) kini lewat 21 hari, dengan kemajuan sebenar 40.07 peratus berbanding 47.26 peratus mengikut jadual.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Izani Husin berkata kelewatan itu antaranya disebabkan faktor cuaca susulan hujan lebat berterusan setiap petang dan malam sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan air bertakung di tapak projek.

“Selain itu, berlaku kelewatan pemasangan Prefabricated Vertical Drain (PVD), iaitu kaedah saliran menegak bagi mempercepatkan proses pengeringan tanah tapak bina yang lembap.

“Walaupun terdapat sedikit kelewatan dalam kerja rawatan tanah, ia diyakini dapat disiapkan pada 17 Mei 2027, iaitu tarikh akhir tempoh kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai perkembangan terkini projek KB Sentral pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Izani berkata pembinaan bangunan terminal pula hanya boleh dimulakan seawal Jun 2027 selepas kerja rawatan tanah selesai.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kelantan memutuskan untuk mengambil alih projek pembinaan KB Sentral selepas rundingan dengan Perak Transit gagal mencapai kata sepakat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekangan masa bagi menyiapkan projek berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement