KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kes buli dan penderaan di sekolah tidak boleh disembunyikan dengan alasan mahu menjaga imej atau prestasi sesebuah institusi.
Beliau berkata, rekod setakat ini menunjukkan sejumlah 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Katanya, angka sebenar mungkin lebih besar memandangkan sesetengah pihak pentadbiran sekolah memilih untuk tidak melaporkan kes buli dan salah laku disiplin semata-mata demi menjaga imej institusi masing-masing.
"Dalam beberapa ucapan sebelum ini, saya telah menegaskan dengan keras mengenai isu buli dan penderaan. Masalah ini memang wujud, namun sering disembunyikan demi menjaga imej dan prestasi sesebuah institusi. Akibatnya, anak-anak menjadi mangsa penderaan serta tekanan mental.
"Jadi saya setuju, jangan sesekali menyembunyikan perkara ini kerana kita perlu bertindak dengan segera,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, kerajaan mengakui masih terdapat kelemahan dalam menangani isu berkenaan dan akan terus memperbaiki serta memperketatkan peraturan sedia ada.
Beliau berkata pelbagai langkah telah dan sedang diambil, antaranya pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penambahan guru bimbingan dan kaunseling serta pelantikan pembantu warden asrama.
"Langkah-langkah penyelesaian sebenarnya telah diambil, cuma ia belum dijelaskan secara menyeluruh. Kerajaan telah memperuntukkan RM3 juta untuk pemasangan CCTV di sekolah dan RM5 juta di asrama. Bagi tahun hadapan, sebanyak RM15 juta lagi diperuntukkan melibatkan 1,000 buah sekolah.
"Sebanyak 5,107 jawatan Guru Bimbingan dan Kaunseling baharu telah diwujudkan demi menangani masalah ini, selain pelantikan 300 Pembantu Warden Asrama melalui program MySTEP," jelasnya.
Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga diberikan kebenaran untuk memasuki sekolah pada bila-bila masa secara rasmi dan berpakaian seragam.
Katanya, 400 warden turut diberikan latihan berkaitan kemahiran dan sokongan psikososial, selain kuasa disiplin boleh diturunkan kepada guru.
Beliau berkata kerajaan turut memperkukuh advokasi suara murid, polisi perlindungan murid serta saringan minda sihat.