Skip to main content

Malaysia

Letupan selatan Thailand: PDRM bantu Thailand kesan elemen berkaitan BRN - KPN

PASIR MAS, 26 OGOS -- Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail (tengah) bercakap pada sidang media selepas meninjau kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang, Pasir Mas, hari ini.  Tinjauan itu memberi tumpuan kepada pemantauan laluan di kawasan sempadan bagi mengekang kegiatan rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail (tengah) bercakap pada sidang media selepas meninjau kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang, Pasir Mas, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PASIR MAS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima permintaan daripada polis dan tentera Thailand bagi membantu mengesan pergerakan individu atau ejen yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Barisan Revolusi Nasional (BRN) susulan beberapa kejadian letupan di tiga wilayah selatan Thailand, Sabtu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM akan menjalankan siasatan, mendapatkan maklumat lanjut dan membantu pihak berkuasa Thailand menyelesaikan isu berkenaan.

“Setakat ini kita ada dapat permintaan daripada pihak polis dan tentera Thailand untuk mencari atau membantu sebarang pergerakan ejen ataupun mereka yang berkaitan dengan BRN dan sebagainya.

“Jadi kita akan menjalankan siasatan dan cuba mendapatkan maklumat lanjut serta membantu pihak Thailand dalam menyelesaikan isu tersebut,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di pangkalan haram Lubok Gong di sini hari ini.

Beliau berkata permintaan seumpama itu bukan perkara baharu kerana PDRM pernah menerimanya sebelum ini dan akan terus berusaha membantu pihak berkuasa Thailand dari semasa ke semasa.

Mohd Khalid berkata perkembangan yang berlaku di tiga wilayah selatan Thailand itu turut diberi perhatian kerana terdapat beberapa perkara yang dilihat mungkin boleh menimbulkan kemudaratan kepada Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata lawatan bersama-sama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk  Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat menunjukkan komitmen PDRM dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman negara, khususnya Kelantan.

Turut hadir Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am SAC Ahmad Radzi Hussain dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mazlan Hassan.

Beliau berkata kawalan keselamatan di sempadan turut dipertingkatkan melalui penambahan anggota, penggunaan teknologi dron dan beberapa peralatan canggih bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.

“Langkah ini juga bertujuan mencegah kegiatan penyeludupan termasuk pendatang tanpa izin serta barangan keperluan harian yang memerlukan pengawasan berterusan.

“Saya melihat tindakan yang dibuat oleh pihak KDNKA dan juga oleh Ketua Polis Kelantan begitu berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khalid meminta rakyat Malaysia supaya berhati-hati ketika melakukan perjalanan ke negara jiran tersebut dengan memastikan keselamatan diri sentiasa berada pada tahap baik bagi mengelakkan perkara di luar dugaan yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Beliau berkata PDRM akan terus melaksanakan tindakan yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara, termasuk di kawasan sempadan Kelantan.

Pada Sabtu lepas, wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung bermula 10.15 malam hingga 5 pagi selepas berlaku lebih 50 insiden termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar. 

Letupan kuat di Narathiwat dalam kejadian itu turut menggegarkan kediaman dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang, Rantau Panjang di sini.

--BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement