Skip to main content

Malaysia

LLM, Prosignal Consortium perlu beri penjelasan masalah navigasi TuJu

TuJu dibangunkan oleh Prosignal Consortium Sdn Bhd menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama LLM pada 26 Mei 2022. - Bernama
TuJu dibangunkan oleh Prosignal Consortium Sdn Bhd menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama LLM pada 26 Mei 2022. - Bernama

Advertisement

PUTRAJAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung masalah yang dihadapi pengguna aplikasi navigasi TuJu, termasuk punca masalah, aspek teknikal serta langkah penyelesaian dan penambahbaikan.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat yang sedang berlangsung akan turut meneliti penjelasan kedua-dua pihak, termasuk keberkesanan fungsi aplikasi, pengalaman pengguna serta pelan tindakan penambahbaikan yang mempunyai sasaran dan garis masa jelas.

Beliau berkata LLM sebelum ini mengakui terdapat masalah yang dihadapi pengguna dan memaklumkan bahawa usaha menambah baik aplikasi itu sedang dilaksanakan.

"Walau bagaimanapun, LLM dan Prosignal Consortium Sdn Bhd perlu memberikan penjelasan khusus dan terperinci berhubung isu yang dibangkitkan oleh pengguna, termasuk punca masalah, aspek teknikal yang terlibat, status prestasi semasa aplikasi serta langkah penyelesaian dan penambahbaikan," katanya dalam Sidang Media Mingguan, di sini pada Jumaat.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menambah, TuJu dibangunkan oleh Prosignal Consortium Sdn Bhd menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama LLM pada 26 Mei 2022.

Ia kemudian dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 26 November 2025.

Menurut Fahmi lagi, kerajaan bagaimanapun menggalakkan orang ramai menggunakan pelbagai aplikasi navigasi alternatif, sama ada yang dibangunkan syarikat tempatan mahupun luar negara.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan saranan supaya orang ramai tidak menggunakan aplikasi Waze atas faktor keselamatan siber yang telah dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita tidak hanya menuju satu aplikasi tertentu, tetapi boleh menggunakan pelbagai aplikasi navigasi alternatif selain Waze," katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement