PUTRAJAYA: Kerangka terma rujukan bagi pasukan khas yang akan menyiasat dakwaan berkaitan isu mafia korporat akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengulangi komitmen kerajaan untuk mendedahkan hasil siasatan dalam tempoh tiga bulan selepas siasatan berkenaan selesai.
"Seperti yang disebut dalam sidang Parlimen sewaktu Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pada Selasa lepas, hasil siasatan akan didedahkan dalam tempoh tiga bulan selepas siasatan tersebut selesai," katanya dalam Sidang Media Mingguan, di sini pada Jumaat.
Pada Selasa, Anwar memaklumkan, kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bagi menyiasat jenayah korporat dengan laporan penuh siasatan dijangka didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan.
Anwar berkata, jawatankuasa itu akan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Lembaga Hasil Dalam Negeri serta agensi penguatkuasaan berkaitan.
Beliau turut menegaskan menegaskan, tiada pihak terbabit kegiatan ‘mafia korporat’ akan dilindungi.