Skip to main content

Hiburan

Pemilihan pelakon James Bond baharu memasuki peringkat akhir di London - Laporan

Ujian lakon layar itu akan merangkumi tiga komponen, iaitu aksi lagak ngeri, penampilan di hadapan kamera dan dialog. - X @onedio
Ujian lakon layar itu akan merangkumi tiga komponen, iaitu aksi lagak ngeri, penampilan di hadapan kamera dan dialog. - X @onedio

Advertisement

LONDON: Pencarian pelakon yang bakal membawa watak James Bond dilaporkan akan memasuki peringkat akhir pada hujung minggu ini apabila ujian lakon layar bagi watak itu dijadualkan berlangsung di London, menurut laporan PA Media/dpa.

Callum Turner, bintang filem “One Night Only”, Jack Lowden daripada siri “Slow Horses” dan Josh O’Connor daripada siri “The Crown” antara pelakon yang dipertimbangkan untuk menjalani ujian lakon layar itu, yang mungkin bermula seawal Jumaat, menurut Deadline.

Bertentangan dengan khabar angin sebelum ini, dua pelakon iaitu pelakon siri televisyen “Euphoria”, Jacob Elordi dan pelakon yang membintangi filem “Sinners”, Jack O’Connell pula tidak termasuk dalam kalangan pelakon yang menjalani uji bakat bagi watak berkenaan, menurut The Hollywood Reporter.

Difahamkan, ujian lakon layar itu akan merangkumi tiga komponen, iaitu aksi lagak ngeri, penampilan di hadapan kamera dan dialog.

Pelakon yang terpilih akan menggantikan Daniel Craig, yang mula membawakan watak Bond menerusi filem “Casino Royale” (2006) dan menamatkan penampilannya selepas filem kelima beliau, “No Time To Die” (2021).

Amy Pascal, yang akan menerbitkan filem Bond seterusnya, memberitahu Deadline pada awal tahun ini bahawa proses pemilihan pelakon dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun.

“Saya berpendapat pengumuman (menjelang) penghujung tahun merupakan satu jangkaan yang munasabah. “Kami menjalankan proses ini dengan amat teliti. Setelah bekerjasama dengan (penerbit) Barbara Broccoli di studio, saya boleh katakan bahawa Daniel Craig bukanlah mudah untuk digantikan.

“Pelakon baharu itu perlu membawa sesuatu yang benar-benar berbeza, mengujakan dan mampu mencetuskan keterujaan,” katanya.

Filem Bond seterusnya yang masih belum diberikan judul itu akan diarahkan oleh Denis Villeneuve, pengarah filem “Dune” manakala David Heyman, penerbit filem “Harry Potter”, akan bekerjasama dengan Pascal dalam menjayakan projek berkenaan.

Wakil Turner, Lowden, O’Connor dan Amazon Studios telah dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement