Ringkasan AI
- Malaysia berpotensi menjadi sasaran serangan siber kerana kekuatan infrastruktur digital dan pendirian tegas kerajaan dalam isu antarabangsa seperti Palestin dan Gaza.
- Kerajaan memandang serius ancaman keselamatan antarabangsa dan telah mengadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara untuk meneliti implikasi geopolitik semasa.
- Langkah memperkukuh penyelarasan antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan diambil, termasuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai bentuk ancaman.
KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara yang berpotensi menjadi sasaran serangan siber susulan kekuatan infrastruktur digital dan pusat data negara, selain pendirian tegas kerajaan dalam beberapa isu antarabangsa, khususnya Palestin dan Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh kerajaan, namun tidak semua butiran berkaitan ancaman berkenaan boleh didedahkan kepada umum.
"Malaysia tentunya antara yang dianggap menjadi sasaran. Ada dua perkara (kenapa negara berpotensi menjadi sasaran). Pertama, kerana kekuatan kita dalam soal digital dan pusat data, (kita) antara terkuat, kalau dalam angka terakhir kekuatan kita itu boleh menyaingi Eropah.
"Kedua, kerana pendirian kita dalam beberapa isu yang dianggap kontroversi oleh sesetengah negara terutama Eropah dan Amerika (Syarikat), khususnya soal Palestin dan Gaza," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa, mengenai sama ada Malaysia menjadi sasaran serangan berdasarkan maklumat risikan kerajaan.
Anwar berkata, kerajaan memandang serius perkembangan ancaman keselamatan antarabangsa susulan maklumat terkini yang diperoleh daripada agensi berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sehubungan itu, beliau berkata mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) diadakan bagi meneliti implikasi perkembangan geopolitik semasa, termasuk ancaman hibrid digital dan konflik berpanjangan di Asia Barat.
Katanya, ketidaktentuan antarabangsa, termasuk perkembangan di Yaman dan Laut Merah serta ancaman keselamatan di Eropah, berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara.
Beliau turut mengambil maklum langkah beberapa negara, termasuk Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun, yang menasihati rakyat masing-masing supaya menyediakan bekalan makanan bagi tempoh tiga hingga 10 hari sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi ketidaktentuan antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kerajaan akan memperkukuh penyelarasan antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan, selain meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam dan luar negara.
Katanya, Ketua Setiausaha Negara akan mengadakan perbincangan dengan ketua jabatan berkaitan, manakala Gabenor Bank Negara Malaysia turut dijadual mengadakan sidang khas bersama institusi kewangan negara.
Malaysia juga akan meneliti pendekatan kesiapsiagaan menerusi Strategi Kesatuan Kesiapsiagaan Kesatuan Eropah (EU Preparedness Union Strategy) yang membabitkan penyertaan jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Anwar turut mencadangkan supaya Ketua Pengarah MKN diberikan ruang untuk menyampaikan taklimat khas kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam tempoh satu hingga dua hari bagi menjelaskan perkembangan serta penilaian ancaman keselamatan semasa.
Beliau memohon kerjasama semua ahli Parlimen untuk memberi ruang berkenaan kerana perkembangan ancaman yang diterima kerajaan memerlukan penelitian dan pemahaman bersama.
Serangan siber yang menyasarkan rangkaian pasar raya di Eropah pada Isnin menjejaskan operasi beberapa premis di Sweden, Belgium dan Luxembourg, apabila sistem kawalan suhu peti sejuk serta peti sejuk beku terganggu sehingga menyebabkan bekalan makanan rosak dan terpaksa dilupuskan.
Antara rangkaian peruncitan yang terjejas ialah Ahold Delhaize dan Colruyt di Belgium serta Luxembourg, selain pasar raya ICA dan Coop di Sweden. IKEA turut melaporkan sekurang-kurangnya sebuah premisnya terkesan dalam insiden berkenaan.