KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 1,216 kilogram beras pelbagai jenama yang disyaki diseludup dari Thailand, dalam serbuan di Kampung Kubang Panjang, Tumpat semalam.
Rampasan bernilai RM4,864 itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira 4 petang selepas anggota Strike Force Kompeni B, Batalion 7 PGA Kuantan mengesan sebuah van Nissan Vanette dalam keadaan mencurigakan, ketika rondaan di laluan Kota Bharu-Pengkalan Kubor.
Komander Briged Tenggara Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata dalam kejadian itu, pemandu van berkenaan dipercayai cuba melarikan diri, selepas menyedari kehadiran anggota polis sebelum kenderaan dipandunya terbabas di kawasan Kampung Kubang Panjang.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap van itu menemukan 49 kampit beras pelbagai jenama, terdiri daripada 750 kilogram beras cap Mangga, 250 kilogram cap Nangka, 120 kilogram cap Serindit, 72 kilogram cap Angsa Mas dan 24 kilogram cap Pisang.
“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memandu van itu, turut ditahan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Hasil siasatan awal mendapati beras berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui pangkalan haram Pohon Tar, Kuala Jambu sebelum dihantar ke Pasir Puteh.
“Kes diserahkan kepada Jabatan Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut, mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994," katanya.
Selain beras, sebuah van Nissan Vanette bernilai RM18,000 turut dirampas, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM22,864.
-- BERNAMA