KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 65 ekor kambing dipercayai diseludup dari Thailand menerusi Sungai Golok di Pangkalan Haram, dalam operasi di Kampung Kok Bedullah, Tumpat awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira 1 pagi itu, PGA turut menyita sebuah lori jenis Isuzu berwarna merah, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM138,750.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata dua lelaki masing-masing berumur 22 dan 28 tahun yang menaiki lori berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa puluhan ekor kambing, namun pemandu gagal mengemukakan kebenaran bertulis dan sijil kesihatan veterinar yang diperlukan bagi pemindahan ternakan.
“Pemeriksaan dilakukan selepas anggota yang menjalankan rondaan di sekitar kawasan Pengkalan Kubor mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan dari arah Kampung Neting menuju ke Kampung Kok Bedullah.
"Kedua-dua lelaki berkenaan mendakwa kambing terbabit dibawa masuk dari Thailand melalui laluan sungai dan akan dihantar ke sebuah kandang di Kampung Kok Bedullah sebelum diserahkan kepada pembeli," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata mereka turut mendakwa kegiatan itu dilakukan kira-kira seminggu sekali, bergantung pada permintaan pembeli.
Ahmad Radzi berkata kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Beliau berkata PGA akan terus mempergiatkan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan pembolosan di sepanjang sempadan negara.
-- BERNAMA