KUALA LUMPUR: Rayuan bekas pengurus kanan Lembaga Tabung Haji (TH) terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM852,385 bagi kesalahan menerima suapan berjumlah RM170,477, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Jan tahun hadapan.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes membabitkan Zaharuddin Hamid, 53, yang merupakan bekas Pengurus Kanan Teknikal (Seksyen Pembangunan Hartanah).
“Pihak-pihak perlu memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 8 Jan depan,” kata Hakim Noor Ruwena.
Zaharuddin yang hadir pada prosiding hari ini, memfailkan rayuan berkenaan pada November 2023.
Mengikut tiga pertuduhan, Zaharuddin didakwa secara rasuah menerima suapan daripada Yusaidi Mohd melalui syarikat Amaneez Creative Solution menggunakan cek yang didepositkan ke dalam akaun Maybank milik kakaknya, Zanita Hamid berjumlah RM170,477.
Tindakan itu sebagai upah mencadangkan syarikat Consoline Sdn Bhd dan Syarikat MNB Engineering Sdn Bhd bagi kerja ubah suai pejabat TH Ipoh (IFiC), Perak dan tiga di Johor iaitu TH Muar, TH Batu Pahat serta TH Kluang.
Dia dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Maybank Desa Pandan, di sini, antara 5 Okt 2015 dan 24 Mei 2018 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam A.Ashok yang mewakili Zaharuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menerima rekod rayuan pada pagi ini dan memohon agar tarikh pendengaran rayuan tersebut ditetapkan.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah mengesahkan perkara itu.
Perbicaraan kes itu bermula 2022 dengan sebanyak 18 saksi pendakwaan memberi keterangan di mahkamah, manakala pihak pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi.
Pada 30 Nov 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM852,385 ke atas Zaharuddin, selepas mendapati dia bersalah terhadap tiga pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dikenakan hukuman penjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Zaharuddin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, sementara rayuan diputuskan oleh mahkamah.
Berdasarkan alasan penghakiman, mahkamah mendapati keterangan tertuduh hanya berbentuk penafian dan rekaan semata-mata tanpa ada sokongan, selain menyatakan pembelaan tersebut tidak bermerit untuk menimbulkan keraguan munasabah.
-- BERNAMA