Skip to main content
Advertisement

Malaysia

TH serah lesen kepada 33 pengelola jemaah haji bagi Musim Haji 1448H/2027M

[TB]_Majlis Serahan Lesen Pengelola Jemaah Haji_Tabung Haji
Zulkifli bersama 33 PJH yang terpilih semasa Majlis Serahan Lesen Pengelola Jemaah Haji 1448H/2027M Di MHCC, Sepang hari ini. - Gambar Tabung Haji
Advertisement

SEPANG: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 33 syarikat  termasuk TH Travel & Services Sdn Bhd bagi Musim Haji 1448H/2027M.

PJH yang terpilih telah melalui proses penilaian yang teliti dan menyeluruh sebelum 33 syarikat dikenal pasti memenuhi syarat kelayakan untuk diberikan lesen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pemilihan ini bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya, malah melalui proses penilaian yang mengambil kira pelbagai aspek penting termasuk kedudukan kewangan, rekod prestasi, pengalaman dan keupayaan syarikat untuk mengurus dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

"Tabung Haji juga melaksanakan semakan bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memastikan syarikat yang diberikan kepercayaan ini memenuhi syarat dan mempunyai keupayaan untuk menjalankan tanggungjawab diamanahkan," katanya ketika berucap pada Majlis Serahan Lesen PJH Musim Haji 1448H/2027M di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi amat serius dalam memastikan hanya jemaah haji mempunyai permit sah yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi sahaja dibenarkan mengerjakan haji.

"Hukuman dan denda berat akan dikenakan Kerajaan Arab Saudi kepada mereka yang melanggar peraturan ini. Kita menekankan perkara ini dan ini merupakan sesuatu yang perlu dipatuhi semua jemaah haji bagi memastikan kita mendapat permit visa daripada kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan haji," katanya.

Beliau juga menyeru semua PJH supaya memberikan maklumat jelas, tepat dan telus kepada bakal jemaah, khususnya berkaitan penginapan, pengangkutan, makanan serta kemudahan lain, bagi membolehkan mereka membuat pilihan berdasarkan maklumat lengkap.

Menurut Zulkifli, persaingan dalam kalangan PJH perlu berasaskan peningkatan kualiti perkhidmatan, inovasi dan tadbir urus yang baik tanpa menjejaskan kepercayaan serta kebajikan jemaah.

"PJH juga diingatkan agar mematuhi syarat-syarat lesen PJH yang ditetapkan TH, mengemas kini maklumat di Sistem Agensi Haji bagi mengelakkan denda yang boleh menjejaskan pengeluaran lesen di masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menyampaikan Anugerah Pengelola Jemaah Haji (Anugerah PJH) bagi mengiktiraf kecemerlangan syarikat PJH, bertujuan  menggalakkan peningkatan kualiti dan amalan terbaik dalam perkhidmatan kepada jemaah.

Anugerah emas dirangkul TH Travel & Services Sdn Bhd, diikuti Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd bagi perak dan gangsa diraih Jay Ibrahim Travel&Tours Sdn Bhd.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement