Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
- Penangguhan ini hanya berkuat kuasa sehingga proses semakan kehakiman selesai sepenuhnya, tanpa mengubah status pembatalan pendaftaran PN.
- Armada Bersatu Malaysia menyatakan tindakan pentadbiran PN menjemput semula Bersatu ke mesyuarat menunjukkan pengakuan kesilapan, namun dianggap sudah terlambat.
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak mengubah fakta pokok bahawa pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebenarnya telah terbatal.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah berkenaan, namun menegaskan penangguhan itu hanya terpakai sehingga proses semakan kehakiman selesai sepenuhnya.
"Sekiranya semakan kehakiman tidak dapat membuktikan RoS silap dalam melaksanakan keputusan mereka, maka PN sah terbatal.
"Perkara pokok yang masih tidak berubah adalah PN telah dibatalkan pendaftarannya dan keputusan mahkamah pada hari ini tidak menukar fakta itu," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Harris turut membidas pendirian Setiausaha Agung PN yang disifatkan tidak konsisten susulan pengesahan bahawa satu Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu akan dipanggil dengan menjemput semula Bersatu.
Beliau mempersoalkan kewajaran jemputan tersebut memandangkan sebelum ini pihak pentadbiran PN memberi alasan bahawa Bersatu disisihkan daripada mesyuarat 16 Julai lalu, kononnya akibat masalah korum Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.
"Pada hari ini Bersatu tetap mempunyai jumlah korum Majlis Pimpinan Tertinggi yang sama, tetapi mengapa Setiausaha Agung PN menjemput Bersatu?
"Pada masa yang sama pada 16 Julai, Bersatu juga masih parti komponen PN, tetapi mengapa pada ketika itu tidak dijemput sebaliknya pada kali ini dijemput?" soalnya.
Sehubungan itu, Armada berpandangan kekhilafan Setiausaha Agung PN mengenepikan Bersatu dalam mesyuarat terdahulu tetap akan menjadi punca gabungan berkenaan terbatal kerana melanggar Perlembagaan PN secara terang-terangan.
Jemputan terbaharu itu, tambah beliau, secara tidak langsung mendedahkan pihak pentadbiran PN kini sedar akan kesilapan berkenaan dan cuba memperbaikinya, namun tindakan tersebut sudah terlambat untuk mengubah apa yang telah berlaku.
Krisis pendaftaran gabungan pembangkang itu tercetus selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah pembatalan pendaftaran dan melarang penggunaan logo rasmi PN di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Tindakan penguatkuasaan itu susulan aduan rasmi yang dikemukakan oleh Bersatu mengenai lapan hujah pelanggaran perlembagaan parti gabungan, termasuk dakwaan penafian hak kehadiran dan undi pemimpin Bersatu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai lalu.
Kepimpinan PN kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan pembatalan terbabit serta memohon penangguhan pelaksanaan perintah sementara menunggu perbicaraan penuh selesai.
Mahkamah Tinggi semalam membenarkan penangguhan sementara itu, sekali gus memberi ruang kepada sekretariat pentadbiran gabungan berkenaan untuk memanggil semula mesyuarat kepimpinan tertinggi melibatkan semua parti komponen.