KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dalam mesyuarat gabungan itu dalam masa terdekat.
Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan berhubung pemilihan calon termasuk kedudukan penyandang sedia ada hanya akan dibuat selepas mesyuarat berkenaan.
Beliau bagaimanapun memberi bayangan bahawa GPS akan menampilkan gabungan calon berpengalaman selain mengesahkan akan ada muka baharu dalam barisan calon gabungan itu.
Mengulas jika ada penyandang digugurkan, Abang Johari menjelaskan terdapat wakil rakyat yang memilih untuk mengundurkan diri.
“Apa yang saya boleh ceritakan di sini ialah ia ada akan menjadi gabungan mereka yang berpengalaman dan golongan muda.
“Ini akan kita putuskan selepas kita ada mesyuarat GPS,” katanya ketika ditemui selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Jumaat.
Beliau yang juga penyandang ADUN Gedong, ketika ditanya sama ada akan bertanding dan kembali ke kerusi Satok, enggan mengesahkan perkara tersebut.
“Apa pendapat anda? Mana Datuk Ibrahim”, katanya berseloroh merujuk kepada penyandang ADUN Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Abang Johari berkata satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat GPS bagi menjelaskan perkembangan berhubung pemilihan calon.
GPS dijangka mempertahankan penguasaannya di Sarawak pada PRN ke-13, dengan gabungan itu sebelum ini bertanding di kesemua 82 kerusi DUN pada pilihan raya negeri lalu.