Skip to main content

Politik

RM50 juta untuk Najib, mengapa tidak untuk mangsa banjir? - Pejuang

Akmal Yusoff berkata, kejayaan kempen crowdfunding yang digerakkan UMNO itu wajar diberikan pengiktirafan, namun pendekatan sama sepatutnya turut dimanfaatkan bagi membantu rakyat yang memerlukan.
Akmal Yusoff berkata, kejayaan kempen crowdfunding yang digerakkan UMNO itu wajar diberikan pengiktirafan, namun pendekatan sama sepatutnya turut dimanfaatkan bagi membantu rakyat yang memerlukan.

Ringkasan AI

  • UMNO berjaya mengumpul RM50 juta melalui Tabung Solidariti untuk membantu pembayaran denda Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh kurang dua bulan.
  • Akmal Yusoff mencadangkan dana sebesar itu sepatutnya dimanfaatkan untuk membantu mangsa banjir dan golongan memerlukan, bukan hanya individu tertentu.
  • Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap persepsi antarabangsa mengenai akauntabiliti institusi dan keyakinan terhadap sistem kehakiman negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejayaan UMNO mengumpulkan dana sebanyak RM50 juta menerusi Tabung Solidariti bagi membantu pembayaran denda Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh kurang dua bulan mencetuskan persoalan mengenai keutamaan perjuangan politik, khususnya ketika rakyat sedang berdepan kesusahan akibat bencana banjir.

Pemangku Ketua Pejuang Muda Malaysia, Akmal Yusoff berkata, kejayaan kempen crowdfunding yang digerakkan UMNO itu wajar diberikan pengiktirafan, namun pendekatan sama sepatutnya turut dimanfaatkan bagi membantu rakyat yang memerlukan.

Menurutnya, dana RM50 juta tersebut berpotensi disalurkan kepada 5,000 keluarga dengan setiap keluarga menerima bantuan sebanyak RM10,000.

Advertisement

Beliau berkata, jumlah itu pastinya mampu meringankan beban mangsa banjir yang kehilangan harta benda, mengalami kerosakan kediaman serta terpaksa menanggung kos membaik pulih rumah dan menggantikan kelengkapan yang musnah.

"Bayangkan jika RM50 juta ini dapat dimanfaatkan untuk membantu 5,000 keluarga mangsa banjir. Setiap keluarga boleh menerima RM10,000 bagi memulihkan kediaman dan meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah.

Advertisement

"Jika UMNO berjaya mengumpulkan dana sebanyak itu dalam tempoh kurang dua bulan bagi membantu seorang individu, mengapa pendekatan sama tidak boleh digunakan untuk membantu ribuan rakyat yang sedang menghadapi kesusahan?" katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Akmal mencadangkan supaya UMNO membuka Tabung Solidariti khusus untuk mangsa banjir, terutama ketika negara sedang memasuki musim tengkujuh yang berisiko menyebabkan lebih banyak kawasan terjejas.

Katanya, kejayaan menggerakkan sumbangan orang ramai juga boleh diperluaskan bagi membantu mangsa penipuan dalam talian (online scam) serta individu yang terjerat dengan kegiatan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa cadangan berkenaan bukan bermaksud mempersoalkan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan dalam urusan pengampunan Najib.

Bagaimanapun, katanya, rakyat berhak mempersoalkan kewajaran pengurangan hukuman dan denda yang besar terhadap seseorang yang telah disabitkan kesalahan melalui proses kehakiman termasuk peringkat rayuan dan mahkamah tertinggi.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai persepsi masyarakat antarabangsa dan pelabur asing terhadap akauntabiliti institusi serta keyakinan terhadap sistem kehakiman negara, khususnya apabila melibatkan kes berprofil tinggi.

"Malaysia memerlukan keyakinan pelabur, kestabilan institusi dan sistem keadilan yang diyakini semua pihak tanpa mengira kedudukan atau pengaruh seseorang.

"Politik seharusnya menjadi wadah untuk membela nasib rakyat, bukannya sekadar medan mempertahankan kepentingan individu," katanya.

Must Watch Video

Advertisement