KUALA LUMPUR: Acara berbasikal tahunan, Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) kembali dianjurkan menerusi edisi ke-14 pada 6 Disember 2026, dengan menawarkan laluan kayuhan sejauh 110 kilometer (km).
Penganjuran oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu bakal berlangsung di Teluk Batik, Lumut, sekali gus menghimpunkan peminat sukan berbasikal daripada pelbagai peringkat kemahiran, termasuk pelumba berpengalaman dan pengayuh amatur.
Setakat ini, seramai 700 peserta telah mendaftar bagi menyertai acara berkenaan, manakala pendaftaran masih dibuka sehingga 15 November 2026.
Menariknya, JMFR bukan sekadar acara berbasikal, sebaliknya menjadi platform untuk mengeratkan hubungan komuniti, memupuk gaya hidup aktif serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.
Dengan tema “Ride Together, Together, Powering A Better Tomorrow”, penganjuran kali ini membawa mesej bahawa setiap perjalanan bermula dengan tujuan bersama, selain meraikan tenaga, kemajuan, komuniti dan komitmen ke arah masa depan yang lebih lestari.
Bagi edisi kali ini, peserta bakal menempuh laluan jalan raya dengan jumlah pendakian dan penurunan masing-masing 706 meter, sekali gus menawarkan cabaran tersendiri kepada para pengayuh.
Laluan yang dirancang di sekitar Manjung itu turut menyajikan pemandangan menarik di sekitar Lumut dan kawasan sekitarnya, dengan kemudahan stesen air disediakan bagi menyokong keperluan peserta sepanjang kayuhan.
Selain aktiviti berbasikal, acara berkenaan turut diserikan dengan suasana festival yang menampilkan makanan tempatan, persembahan muzik dan pelbagai bentuk hiburan untuk dinikmati peserta serta pengunjung.