ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) apabila menang tanpa bertanding bagi penggal 2026-2030.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri Muhamad Radhi Mat Din juga menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KFA yang berlangsung sempena Kongres Tahunan KFA kali ke-51 di Wisma Darul Aman di sini, semalam.
Sementara itu, tiga calon dipilih mengisi jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Kamil Din, Datuk Zuraidi Rahim dan Datuk Syed Yussof Syed Othman, manakala bagi jawatan Ahli Eksekutif lapan calon terpilih iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun Baddrol Bakhtiar dan Rozaimi Abd Rahim.
Ahli lain ialah Mohd Aizad Roslan, Safwan Hanif Shafie, Beh Ying Shen, P. Sithambaram, Idzham Nordin serta Abd Ra’uf Ibrahim manakala Nor Syafini Chik Buang dipilih sebagai Ahli Eksekutif Wanita.
Mengulas hala tuju persatuan bagi penggal baharu, Muhammad Sanusi berkata setiap portfolio perlu mempunyai hala tuju yang jelas serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang boleh diukur selain pelan tindakan jangka pendek dan panjang.
“Jawatan bukan sekadar kedudukan, ia adalah amanah untuk menghasilkan keputusan dan pencapaian yang memberi manfaat kepada persatuan.
“Kongres ini bukan sekadar memenuhi tuntutan tahunan persatuan, inilah medan tertinggi untuk menilai keupayaan pentadbiran, memperkukuh kesepakatan dan menentukan arah masa depan bola sepak Kedah,” katanya dalam hantaran di laman media sosial.
Beliau berkata kematangan KFA yang melangkaui usia satu abad tidak seharusnya diukur berdasarkan tempoh penubuhannya semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi kecekapan tadbir urus, pengukuhan hubungan strategik, disiplin kewangan dan keberkesanan program pembangunan.
“Tanggungjawab kepimpinan KFA adalah memastikan keseluruhan ekosistem bola sepak negeri bergerak dalam satu kerangka tersusun, bermula daripada pembangunan akar umbi hingga ke peringkat pertandingan berprestasi tinggi.
“Saya menyeru seluruh kepimpinan yang menerima amanah bagi penggal 2026 hingga 2030, bersama Ahli Gabungan dan rakan strategik, supaya menjadikan perancangan ini suatu komitmen bersama yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
-- BERNAMA