Skip to main content

Dunia

Iran temui rizab gas baharu ketika infrastruktur tenaga terjejas akibat perang

A general view shows a unit of South Pars Gas field in Asalouyeh Seaport, north of Persian Gulf, Iran, on Nov 19, 2015. (File photo: Reuters/Raheb Homavandi)
Gambar fail menunjukkan salah satu unit di Medan Gas South Pars di Pelabuhan Asalouyeh, utara Teluk Parsi, Iran yang dirakamkan pada 2015. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

TEHRAN: Iran mengumumkan penemuan rizab gas asli baharu melebihi 200 bilion meter padu ketika sektor tenaga negara itu terus berdepan tekanan akibat perang di Asia Barat yang menjejaskan infrastruktur serta pengeluaran tenaga.

Menteri Petroleum Iran, Mohsen Paknejad berkata, rizab baharu itu ditemukan di selatan wilayah Fars.

Menurut beliau, lebih 160 bilion meter padu gas daripada medan berkenaan berpotensi untuk diekstrak.

Paknejad turut menyifatkan penemuan itu sebagai sweet natural gas iaitu gas yang mengandungi jumlah hidrogen sulfida yang sangat rendah.

Katanya, kandungan gas toksik yang minimum akan mengurangkan kos operasi dan pembangunan medan tersebut.

Bagaimanapun, laporan Bloomberg menjangkakan sebarang pengeluaran baharu daripada tapak berkenaan hanya dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Sektor tenaga Iran berdepan cabaran besar sejak serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap republik Islam itu yang mencetuskan perang di Asia Barat pada akhir Februari lalu.

Serangan terbabit dilaporkan menyasarkan beberapa komponen penting infrastruktur tenaga Iran, termasuk kemudahan pengeluaran gas, depot minyak serta laluan pengangkutan yang menyokong sektor berkenaan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement