Skip to main content

Malaysia

Kes tiga beranak maut: Tikaman di leher punca kematian - Polis

Sumber: BERNAMA
Fadil Marsus berkata bedah siasat terhadap wanita berkenaan dan dua anaknya dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, semalam. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Punca kematian tiga sekeluarga yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Desa ParkCity, Kepong Khamis lepas disebabkan tikaman di leher.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata bedah siasat terhadap wanita berkenaan dan dua anaknya dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, semalam.

"Bedah siasat terhadap mayat anak lelaki dan anak perempuan dilakukan semalam pada 9 pagi hingga 5 petang dan punca kematian disebabkan luka tikaman di leher.

"Bedah siasat terhadap wanita dewasa (isteri) turut dijalankan pada hari sama dan mendapati kematian disebabkan kesan trauma tajam pada leher dan dada," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fadil berkata bedah siasat terhadap mayat suspek, yang juga suami kepada wanita berkenaan dijangka selesai petang ini.

Beliau berkata proses menuntut mayat kesemua mangsa hanya akan dilakukan selepas bedah siasat terhadap mayat suspek selesai, yang dijangka pada 6 petang ini.

Mengulas tentang dakwaan motif kejadian yang dikaitkan dengan penipuan love scam serta pelaburan haram, Fadil berkata perkara itu berada dalam pengetahuan keluarga mangsa, namun pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkannya.

Dalam kejadian pada Khamis lepas, seorang lelaki maut dipercayai terjatuh dari bangunan kondominium di Kepong, manakala isteri dan dua anaknya ditemukan maut di dalam unit kediaman berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta mati mengejut (SDR).

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement