Ringkasan AI
- Kerajaan sedang mengkaji garis panduan khusus bagi perkhidmatan badal haji melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).
- Hasil kajian akan dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia sebelum dijadikan rujukan masyarakat.
- JAWHAR dan Tabung Haji mempergiat usaha penerangan serta kesedaran melalui tazkirah, kempen media sosial dan siri jelajah seluruh negara.
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan kajian bagi mewujudkan garis panduan khusus berkaitan perkhidmatan badal haji, termasuk meneliti kebolehlaksanaan tawaran yang dikemukakan syarikat dan individu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata, kajian menerusi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) itu bertujuan memastikan pelaksanaan perkhidmatan berkenaan mempunyai garis panduan jelas sebelum dijadikan rujukan kepada masyarakat.
Katanya, hasil kajian berkenaan akan dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum garis panduan itu dijadikan rujukan kepada masyarakat.
"Dalam masa sama, JAWHAR dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan terus mempergiat usaha penerangan, kesedaran dan hebahan menerusi tazkirah di masjid dan surau, kempen media sosial serta siri jelajah ke seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang meminta untuk menjelaskan mekanisme semakan awal kerajaan terhadap identiti pengiklan, status syarikat, lesen, akaun penerima bayaran serta kesahihan dakwaan pelaksanaan badal haji sebelum iklan perkhidmatan itu dipromosikan kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, Marhamah berkata, kerajaan memandang serius sebarang bentuk penipuan yang mempergunakan urusan ibadah untuk mengaut keuntungan dan akan terus memperkukuh garis panduan serta kerjasama dengan pihak berkuasa bagi melindungi kepentingan umat Islam.
Dalam masa sama, beliau memberitahu JAWHAR dan TH akan terus mempergiat usaha penerangan dan meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi pelbagai saluran.
"Antara inisiatif dirancang termasuk penyampaian tazkirah di masjid dan surau, kempen menerusi media sosial serta penganjuran siri jelajah ke seluruh negara.
"Usaha itu bertujuan memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat berkaitan pelaksanaan badal haji, selain memahami perkara yang perlu diberikan perhatian sebelum mendapatkan perkhidmatan berkenaan," jelasnya.